Tuesday, 11 March 2014

8 pemuda dengar bunyi menakutkan

Lapan pemuda mendakwa terdengar bunyi yang kuat dari arah Timur Laut Pulau Kapas, Marang pada hari kehilangan pesawat MH370.

Kesemua pemuda itu mendakwa terdengar bunyi letupan yang agak luar biasa dan menakutkan ketika berehat di sebuah wakaf di Kampung Pantai Seberang Marang, Marang kira-kira jam 1.20 pagi pada Sabtu lalu.

LOKASI yang dipercayai bunyi letupan kuat pada hari kehilangan pesawat MH370.
Alias Salleh, 36, berkata, sebaik mendengar letupan itu, dia bersama tujuh rakannya bergegas ke tepi laut untuk meninjau dan mencari punca letupan berkenaan tetapi tidak menemui sebarang kejadian pelik. 
"Dalam keadaan tertanya-tanya, masing-masing mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah dan mengabaikan bunyi misteri tersebut.

"Bagaimanapun, saya mula mengesyaki bunyi misteri itu mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat itu sejurus menerima berita berhubung insiden berkenaan yang disiarkan di dalam media elektronik secara meluas kira-kira jam 11 pagi, hari yang sama sebelum membuat laporan di Balai Polis Marang pada jam 10.28 pagi tadi.
ALIAS Salleh, 36, menunjukkan satu laporan polis yang dibuatnya selepas mendengar bunyi letupan yang kuat dari arah timur laut Pulau Kapas pada hari kehilangan pesawat MH370 dilaporkan.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung bunyi misteri itu dan menyerahkan laporan itu kepada Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya. 

"Sehingga kini, kita serahkan kepada Bukit Aman untuk tindakan susulan dan hanya menunggu arahan selanjutnya. 

"Ini kerana pengadu mendakwa hanya terdengar bunyi letupan tetapi tidak nampak sebarang objek," katanya. 

Dalam pada itu, dua kaki pancing mendakwa turut melihat cahaya lampu putih yang berkelip dipercayai dari sebuah pesawat yang terbang rendah pada awal pagi Sabtu lalu di Pantai Tok Jembal, Seberang Takir, Kuala Terengganu. 

Zaidi Mohamad, 49, berkata, dia melihat lampu putih yang berkelip ketika memancing bersama rakannya, Mohd Jasmin Mokhtar, 46, di pantai berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi sebelum ia hilang. 

Katanya, lebih pelik lagi, 10 minit kemudian, Zaidi mendakwa turut melihat cahaya terang berwarna kuning bentuk bulat selama kira-kira setengah jam pada jarak kira-kira 10 batu nautika dari kedudukan tempat dia memancing. 
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Karpal Singh didenda RM4,000

Mahkamah Tinggi di sini mengenakan hukuman denda RM4,000 terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh selepas didapati bersalah melafazkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak pada 2009.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas selesai mendengar rayuan terhadap keputusan yang dikemukakan oleh peguam Gobind Singh Deo berhubung kesihatan bapanya.
Hakim Azman dalam keputusannya berkata mahkamah mengambil kira keadaan kesihatan Karpal yang mengalami kecederaan tulang belakang kekal sebelum menjatuhkan hukuman. 

Karpal, 74, menghadapi tuduhan melafazkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur, di antara jam 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari, pada 6 Februari 2009.

Dia dituduh mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi mendapati Karpal bersalah atas pertuduhan selepas mendapati dia gagal menimbulkan sebarang keraguan dalam pembelaannya. 

Mahkamah, bagaimanapun menetapkan semalam untuk menjatuhkan hukuman dan mendengar mitigasi selepas membenarkan permohonan peguam bela, Gobind Singh Deo, yang meminta hukuman ditetapkan pada tarikh lain kerana ayahnya tidak sihat. 

Pada 11 Jun 2010, Karpal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanpa dipanggil membela diri. 

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012, memerintahkan Pengerusi DAP itu membela diri atas tuduhan berkenaan. 
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Mungkin tiada kelibat Ultras Malaya

Angkara protes melampau Ultras Malaya, skuad kebangsaan kemungkinan terpaksa beraksi di stadium kosong atau di gelanggang berkecuali selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengeluarkan surat pertuduhan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Jumaat lalu.

Menerusi surat pertuduhan itu AFC mendakwa FAM di bawah Artikel 65, 66, dan 67 kerana gagal menyediakan keselamatan perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dengan Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 1 Mac lalu selepas Ultras Malaya bertindak membakar suar dan mercun serta membaling bom asap ke dalam padang.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, selepas menerima surat pertuduhan daripada AFC, mereka perlu menjawab segala pertuduhan itu selewat-lewatnya hari ini.

“AFC menghantar surat pertuduhan Jumaat lalu. Surat pertuduhan itu dikeluarkan berdasarkan laporan Komisioner Perlawanan di bawah Artikel 65, 66, dan 67 membabitkan keselamatan perlawanan dan keganasan penyokong.

“Pertuduhan itu dibuat atas tindakan penyokong membakar suar, mercun dan membaling bom asap sehingga menyebabkan perlawanan dihentikan. Jadi kami perlu menjawab segala pertuduhan ini esok (hari ini) atau meminta penangguhan bagi menyediakan penjelasan kepada AFC,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>