Tuesday, 4 March 2014

Pejabat Malaysiakini disihir ilmu hitam

Sejak penubuhan, Malaysiakini telah biasa berdepan serangan dalam bentuk kritikan keras, serbuan polis, saman mahkamah, malah wartawannya dilarang daripada menjalankan tugas.

Tetapi serangan Subuh semalam ke atas premis kami semalam merupakan kali pertama cubaan pihak penentang kami menggunakan ilmu hitam.

Selain disimbah cat merah dan 'dipersembah' dengan seekor itik hidup, portal ini turut menerima tiga gambar ahli parlimen DAP Teresa Kok yang dibungkus dalam plastik jernih.

Terdapat juga beberapa genggam beras yang dibungkus, dengan setiap satunya mengandungi jarum dan dibungkus dengan benang merah.

Semua peralatan ini telahpun diambil oleh polis untuk tujuan siasatan.

Tinjaun dengan mereka yang mempunyai pengetahuan dalam perkara ini menunjukkan beras dan jarum merupakan perkara yang biasa digunakan pengamal ilmu hitam.

Seorang pakar yang enggan dikenali berkata:

"Beras itu mewakili periuk nasi seseorang individu atau organisasi. Dan jarum itu, apa yang berlaku jika ada jarum dalam nasi yang anda makan? Ia boleh membunuh."

"Jadi bungkusan ini bertujuan memusnahkan periuk nasi orang atau syarikat.

"Bagaimanapun dalam perkara ini tidak pasti sama ada orang yang bertanggungjawab mahu memusnahkan periuk nasi mana-mana ahli politik atau Malaysiakini. Mungkin kedua-duanya," tambah beliau.

Kok menjadi sasaran beberapa protes setelah membintangi video satira "Onederful Malaysia" sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Fahami kenapa Ultras Malaya bertindak demikian

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menyarankan badan induk bola sepak kebangsaan mengambil pendekatan berhemah menangani isu tindakan kumpulan Ultras Malaya membakar suar dan membaling bom asap ketika aksi persahabatan antara Harimau Malaya dan Filipina, Sabtu lalu, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Annuar berkata, badan pentadbir FAM perlu melihat isu berkenaan daripada perspektif lebih besar dan mengkaji insiden tersebut meski pun ia mencemarkan imej bola sepak negara ketika ini.
“Kalau kita ambil tindakan pergi memadamkan (api suar) tetapi tidak mencari punca sebenar, itu tak akan selesai masalah. Bukan bermaksud saya merelakan (berlaku), kerana pada masa sama kita mesti bertegas semua stadium di negara ini mempunyai peraturan tertentu.

“Semua pihak mesti menghormati peraturan, malah saya tak fikir itu (membakar suar) satu tindakan yang baik. Mereka (FAM) harus melihat masalah itu lebih luas bukan terburu-buru supaya setiap masalah dapat diatasi,” katanya, semalam.

Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, suara anak muda yang bertindak atas platform ultras mesti didengar memandangkan mereka bukan penyokong biasa sebaliknya mempunyai peranan tersendiri selain menjadi sebahagian daripada landskap bola sepak negara.

“Tapi sebagai orang muda kadangkala buat tindakan yang salah. Kalau tanya saya betul atau tak betul, tindakan itu memang tak patut pun berlaku sebab mengganggu perlawanan. Tapi kita mesti ada sebab untuk kaji mengapa perkara itu berlaku, mungkin mereka hendak tarik perhatian.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, seeloknya kita buat ‘engagement’, panggil mereka berunding atau pun beri nasihat dan bimbingan. Saya tak percaya kepada pendekatan mendenda, itu tak akan menyelesaikan masalah,” katanya,

Menurutnya, di Kelantan dulu berlaku macam-macam tindakan liar dicetuskan penyokong fanatik tetapi Kafa mengambil pendekatan berunding dan tidak mendenda walau sesen pun sehinggakan mereka mendapat pengiktirafan selaku penyokong terbaik pada musim lalu.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>