Saturday, 1 March 2014

Warga emas rugi RM100,000

KOTA BHARU - Seorang warga emas kerugian kira-kira RM100,000 selepas rumahnya di Jalan Desa Rahmat, Off Jalan Guchil di sini dipecah masuk pencuri semalam.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Superintendan Idris Abd Rafar berkata, kejadian berlaku antara 9 pagi dan 11 pagi ketika Mek Senik Jusoh, 69, berniaga di Pasar Siti Khadijah di sini.

"Mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk apabila pulang daripada berniaga pada kira-kira 11 pagi dan mendapati jeriji pintu hadapan dan belakang rumahnya telah dipecahkan selain keadaan dalam rumah yang berselerak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Idris berkata, hasil pemeriksaan, wanita itu mendakwa kehilangan pelbagai jenis barangan berharga seperti seutas rantai berlian, dua utas gelang tangan emas, tiga bentuk cincin dan sejumlah wang tunai yang disimpan di dalam bilik tidur.
   
Sementara itu, Mek Senik ketika ditemui di rumahnya berkata rumahnya pernah dimasuki pencuri pada 2008, 2011 dan 2012.  
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Abdul Hadi Awang kena saman RM2 juta

Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu menganggap saman sebanyak RM2 juta oleh bekas calon PKR terhadap Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menjejaskan imej parti itu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, saman bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Abdul Hadi menyebabkan parti itu terus menerima sokongan.
   
"Isu ini seperti fenomena setiap kali adanya pilihan raya kecil (PRK) seperti PRK Kuala Besut hinggalah ke PRK Kajang," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Media bersama pemimpin Pas di sini.
   
Pada 23 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan Abdul Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal hadir untuk menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Dis tahun lalu.
   
Pada Khamis lepas, Abdul Hadi menfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah itu. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Hamil 8 bulan masih sertai pertandingan larian

Beijing: Sarat hamil tidak menghalang Xu Yunyun mengambil bahagian dalam pertandingan larian di Beijing, baru-baru ini.

Xu, pelari amatur berusia 28 tahun itu kini hamil lapan bulan dan percaya aktiviti itu mampu memudahkannya bersalin nanti.

XU yang sarat mengandung berlari di Taman Olimpik Beijing, baru-baru ini.
“Saya pelari yang bersemangat dan tiada sebab untuk saya tidak boleh meneruskan aktiviti ini hanya kerana saya hamil.

“Saya berlari mengikut kesesuaian dan tidak memaksa diri,” katanya.

Menurut Xu, dia diberitahu bahawa senaman ialah cara terbaik bagi memastikan bayi yang dikandung sihat.

Bakal ibu itu menjadikan Paula Radcliffe yang berlari dua kali sehari pada lima bulan pertama kehamilannya pada 2006 sebagai inspirasi utamanya. 

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan AS pula berkata, wanita yang aktif berlari boleh mengambil bahagian dalam sukan lumba lari ketika hamil. 
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>