Thursday, 30 January 2014

Isu sebenar kenapa anwar bertanding di kajang

Sebenarnya sejak dari dulu lagi Anwar Ibrahim sudah sepatutnya jadi menteri besar Selangor. Manakala Tan Sri Khalid Ibrahim digaji sebagai penasihat ekonomi.

Anwar seorang pemimpin nasional, bekas timbalan perdana menteri; pastinya lebih arif hal politik dan pentadbiran. Khalid, wira ‘The Dawn Raid’ sewajarnya diletakkan dalam kapasiti konsultan dan memberi nasihat-nasihat bernas. Ini yang sewajarnya.

Percaturan lewat Kajang, pahit ditelan

Namun malang bagi Pakatan Rakyat, ada semacam satu keyakinan tinggi suatu ketika dahulu bahawa Anwar amat pasti menyandang kerusi Putrajaya.
Maka diletaklah Anwar sebagai figura bakal perdana menteri, dan akhirnya hari ini Anwar tidak punya laporan prestasi, tidak ada track record pencapaian kecuali apa yang diusahakannya sewaktu menjadi menteri Umno suatu ketika dahulu.

Ini bukan sesuatu yang bagus, terutamanya setelah diserang bertubi-tubi pasca September 1998.
Bagi merangkul Putrajaya, sosok Anwar ini perlu dijenamakan semula sebagai seorang eksekutif, pentadbir, dan pemimpin yang meski terpaksa bermula semula dari petak nombor satu mampu membina negeri contoh berteraskan polisi dan dasar yang berasaskan prinsip-prinsip perubahan dan reformasi.

Tetapi ini bukan faktor utama dalam membincangkan kekalutan semasa. Meskipun hal ini perlu diperjelaskan sebagai premis penting dalam memahami percaturan politik Pakatan Rakyat secara kolektif dalam meletakkan Anwar sebagai calon di DUN Kajang dalam pilihan raya kecil yang bakal berlangsung.

Pokok pangkal permasalahan ini perlu dilihat kembali ke garis masa Mac 2008, ketika parti-parti pembangkang menang mengejut di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan.

Tetapi fokusnya sekarang tentulah Selangor.

Selangor berhadapan krisis pada malam 8 Mac, dengan keadaan PAS dikepalai Hasan Ali dikatakan cuba membuat pakatan politik dengan Umno untuk membentuk kerajaan di Shah Alam.

Anwar yang pada waktu itu belum boleh bertanding pilihan raya meletakkan Khalid sebagai calon menteri besar, sesuai dengan ‘track record’ Khalid sebagai perancang ekonomi yang baik.

Mudah di Pulau Pinang, payah di Selangor

Maka terbentuk kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat, dan Hasan serta UMNO Selangor terpaksa menanggung kecewa.

Langkah menjadikan Anwar penasihat ekonomi Selangor juga barangkali boleh dilihat sebagai langkah untuk mewarnakannya sebagai sumber kepada segala polisi dan dasar ekonomi Selangor.

Namun malangnya pada ketika tersebut, Anwar lebih terampil sebagai personaliti nasional yang sedang diusung sebagai calon perdana menteri. Lalu Khalid diberikan segala puji-pujian atas segala kebaikan dan faedah yang dinikmati rakyat Selangor.

Ini berbeza sama sekali jika dibandingkan dengan Pulau Pinang. Lim Guan Eng dilantik ketua menteri tanpa sebarang persoalan kemungkinan beliau diusung ke Putrajaya sebagai menteri Kerajaan Persekutuan apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya nanti.

Maka Guan Eng tenang-tenang sahaja mentadbir negeri tersebut tanpa jenuh memikirkan untuk membentuk dirinya sebagai bakal menteri apa-apa.

Pulau Pinang tidak ada penasihat ekonomi. Tidak ada perebutan siapa wajar menjadi ketua menteri. Lim pemimpin utama DAP, DAP paling banyak kerusi, Lim jadilah ketua menteri. Mudah.

Di Selangor, keadaan ini dipayahkan dengan keperluan undang-udang tubuh negeri tersebut yang tidak membenarkan orang bukan Melayu menjadi menteri besar.

Maka DAP tiada boleh menyatakan kesediaan berkhidmat dalam kapasiti itu. PAS mampu, tetapi usaha PAS pada waktu itu dicemari sentimen kesatuan Melayu dan keperluan berpadu dengan Umno; maka usaha tersebut digagalkan.

Lalu Khalid dijadikan menteri nesar Selangor dalam keadaan beliau tidak mempunyai banyak kemahiran politik. Jawatan menteri besar adalah ‘jawatan politik’, bukan sekadar pengurus wang seperti seorang akauntan.

Menteri besar mesti berpolitik dan mentadbir sebagai ‘orang politik’. Lalu diutuslah seorang setiausaha politik untuk menunjuk ajar selok belok politik kepada bekas pengurus besar PNB ini.

Yang menjadi akar kepada konflik jawatan MB antara Azmin dan Khalid yang begitu disensasikan media ialah ketidakcekapan Khalid berpolitik pada awal-awalnya.

Setelah jambangan puji-pujian

Kita barangkali masih ingat tentang isu kutipan sampah, selain isu air Selangor yang tidak ditangani secara politikal.

Akhirnya politik Khalid dilihat gagal apabila akur kepada perancangan Kerajaan Persekutuan BN; selain kekusutan ADUN Selangor yang mengadu payah sungguh mahu berurusan dengan Khalid kerana negeri itu ditadbirnya seakan sebuah syarikat.

Ramai pastinya melihat Khalid sebagai hero negeri Selangor dengan program-program merakyatkan ekonomi serta propaganda bagi mewarnakan Khalid sebagai seorang hero.

Seandainya Khalid tidak diwarnakan sebagai seorang hero, dan pencapaian negeri tersebut tidak diuar-uarkan, sukar juga untuk para pendokong Khalid Ibrahim memandang tinggi kepada beliau.

Jadi pokoknya, Khalid terlihat sebagai seorang hero itu adalah hasil daripada kerja buat operator-operator politik yang gigih memperlihatkan beliau sebagai ikon kemajuan negeri Selangor, dengan harapan supaya Pakatan mendapat sokongan yang berterusan. Itu sahaja.

Namun hakikat yang harus kita terima dengan berat hati ialah Khalid sebenarnya bukanlah seorang hero.

Dan ini jelas menjadi asas besar kepada pertimbangan Pakatan untuk menggantikannya dengan yang lain.

Dalam PRU tahun 2008, Khalid bertanding di Ijok dan menang dengan majoriti 1920 undi. Mei 2013 Khalid berpindah ke kerusi Pelabuhan Kelang, dan menang dengan majoriti yang lebih sedikit berbanding penyandang sebelumnya.

Kerusi DUN Ijok dikekalkan kemenangannya oleh Dr Idris Ahmad dengan majoriti merosot hanya sebanyak 739 sahaja. Jadi siapa sebenarnya yang mengundi Pakatan di Selangor dengan dalil heroisme Khalid Ibrahim?

Isu sebenar bukanlah soal Azmin mahu jadi menteri besar, atau Anwar mahu masuk pejabat itu. Isu sebenar ialah Khalid tidak berjaya sepenuhnya memikul tugas sebagai menteri besar yang mampu berpolitik dengan baik, serta menjalankan kerja dengan berkesan.

Hal ini barangkali berat sekali mahu diakui ramai pemimpin Pakatan, setelah Khalid selama ini dipuji-puji dan dipertahankan.

Maka mahu tidak mahu, Khalid harus dikeluarkan dari pejabat menteri besar, dan diganti dengan yang lain; supaya episod kegagalan kerajaan negeri Kedah tidak berulang. Cuma persoalannya, siapa calon yang sesuai?

Propaganda Umno

Anwar, bekas timbalan perdana menteri, ketua umum PKR akan harus menanggung beban dan risiko yang besar apabila bersetuju dengan keputusan partinya untuk masuk ke DUN Selangor.

Anwar pastinya tahu dan telah menimbang segala kemungkinan. Dia mungkin sahaja kalah, dan kerjaya politiknya mungkin saja berakhir dalam sebuah pilihan raya kecil.

Anwar malah boleh sahaja menolak keputusan untuk masuk ke DUN Selangor dan barangkali menggantikan Khalid. Tetapi Anwar tetap menggalas juga tugas gila ini. Kenapa?

Seperti yang tadi disebut, Anwar memang sepatutnya sejak dahulu lagi dijadikan menteri besar Selangor.

Dan langkah sekarang yang nampaknya menjurus ke arah itu, wajar dilakukan segera demi memastikan peluang empat tahun sebelum PRU14 tidak disia-siakan.

Justifikasi bahawa bakal perdana penteri harus punya tapak dan rekod prestasi sebagai menteri besar dengan contoh-contoh Jokowi dan Erdogan itu sudah tidak perlu diulang-ulang.

Langkah Anwar untuk menjadi menteri besar Selangor mengikut model itu adalah langkah yang betul, mesti terlambat tiga empat tahun dan memberi ruang kepada pergeseran politik PKR yang amat merugikan.

Kedudukan Anwar di Selangor akan memberi kesan maha besar kepada Umno di Selangor, yang pastinya hanya akan boleh bermimpi untuk merampas semula negeri tersebut setelah ditadbir dengan lebih baik berbanding metod Khalid.

Adakah akan ada sesiapa yang boleh menunjukkan bahawa Anwar lebih buruk urus tadbirnya berbanding Khalid, setelah mengetahui prestasinya sepanjang tempoh menjadi menteri kewangan dan timbalan perdana menteri?

Yang membuat kita semua kalut sekarang ini ialah kerana kita melihat Anwar mengkhianati kepercayaan pengundi demi memajukan cita-cita peribadi. Padahal ini sesuatu yang tidak dapat ditunjukkan secara jelas dengan bukti-bukti nyata.

Apa yang kita ulang sebut ialah propaganda bikinan Umno bahawa Anwar mahu jadi menteri besar supaya dapat gaji tinggi dan kemudian beri faedah-faedah kewangan kepada anak didiknya si Azmin Ali.

Timbunan rizab negeri

Malah wujud pertimbangan dangkal yang mendakwa Anwar mahu mengosongkan timbunan rizab negeri Selangor yang dikumpul Khalid.

Siapa yang beri kita gambaran ini? Kenapa pula kita percaya? Apa pula bukti-bukti yang ada? Adakah yang dianggap bukti itu telah diuji kesahihannya?

Atau sekadar bacaan politik dan spekulasi semata-mata? Adakah Anwar dan konco-konconya itu begitu bodoh untuk bertindak begitu cuai?

Kesedaran Anwar untuk membina tapak prestasi di Selangor sepertimana Guan Eng membina tapak di Pulau Pinang harus dialu-alukan meski sudah sedikit lewat. Namun, lebih baiklah lewat dari tidak langsung.

Umno pastinya tidak akan mahu Anwar menjadi menteri besar Selangor, ini akan memberikan beliau peluang untuk menunjukkan kepada negara apa sebenarnya yang boleh beliau lakukan sebagai seorang ketua eksekutif dan bukan timbalan-timbalan picisan seperti masa lalu.

Umno akan bertambah cuak apabila Anwar menjadi menteri besar Selangor, ADUN Kajang, ahli Parlimen Permatang Pauh dan ketua pembangkang Parlimen Malaysia.

Selangor dia pegang, Putrajaya dia kepung, punya tapak sokongan di Pulau Pinang dan di Parlimen pula beliau akan tetap berentap dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Prestasi yang boleh dibina Anwar dalam kapasiti yang begitu pelbagai pastinya menimbulkan gerun berganda, yang akhirnya akan dilawan dengan tuduhan-tuduhan picisan berkitar soalan kelucahan dan moral sepertimana yang dibuat 15 tahun lalu; yang pastinya telah membuat rakyat muak dan loya.

Macamlah tak ada modal lain.

Jadi isunya mudah: Khalid gagal, perlu diganti. Azmin tak boleh ganti, nanti tidak selesai konflik dalaman parti. Jadi calon yang sesuai itu adalah Anwar.

Ya, dia tahu apa risiko yang ditanggung, dan dia tetap juga meredah apa bahaya yang mendatang. Bertapaknya Anwar sebagai menteri besar Selangor samalah juga macam bertapaknya Guan Eng di Pulau Pinang, dan Nik Aziz di Kelantan.

Makan korban

Ya, keputusan politik yang semacam ini memang berat dan akan memakan korban; namun ia tidak dapat tidak mesti segera dilaksanakan.

Ada yang akan marah, cerca, hina dan maki hamun malah meninggalkan perjuangan hanya kerana tidak puas hati dengan keputusan yang tidak mereka fahami ini. Namun sekaranglah masanya untuk semua ini berlaku demi kemaslahatan menjelang pilihan raya umum ke 14.

Saya antara yang paling awal menghantuk kepala ke meja sejurus mendapat perkhabaran bahawa si Anwar ini mahu bertanding di DUN Kajang demi mengambil alih pejabat menteri besar.

Seperti juga anda, mahu sahaja saya memaki hamun beliau yang tidak mengambil kira sentimen awam sebelum membuat keputusan sedemikian.

Namun setelah mempertimbangkan sebab-sebab yang diberikan, saya harus bersetuju bahawa meskipun gerakan politik ini begitu licik dan membelakangkan banyak hal, ia tetap harus dilaksanakan. Akhirnya Azmin pun tidak berpeluang menjadi menteri besar.

Satu dua minggu ini, isu Kajang akan menjadi buah mulut dan modal kebencian orang. Mereka akan kata ini semua bahana politik kepartian demi cita-cita seorang individu.

Namun hari demi hari anda juga akan bersetuju bahawa langkah ini adalah langkah perlu dan bukan sekadar soal Anwar dan cita-cita yang mungkin tidak kesampaian.

Menjelang hari mengundi di PRK Kajang, anda juga akan duduk di depan skrin televisyen atau komputer dan tetap mengharapkan Malaysia yang lebih baik.

Mengelak Selangor tumpas sepertimana halnya di Kedah adalah demi Malaysia yang lebih baik, bukan soal mengidolakan Anwar dan menyelesaikan masalah parti PKR. Dan anda akan diam-diam bersorak sekiranya Anwar menang.

Namun apa yang penting ialah Pakatan meletakkan nasibnya kembali ke tangan anda. Ini jauh berbeza dengan Umno yang contohnya melantik menteri dari kalangan mereka yang kecundang melalui pintu belakang Dewan Negara.

Pakatan menyerahkan kembali keputusan dan nasib koalisinya ke tangan pengundi; biarlah demokrasi menentukan.

Ada banyak lagi perkara yang harus diselesai dan ditangani. Janganlah dibiarkan tumpuan kita dialih-alih lagi.

Baca lagi >>

Wanita Pakistan diculik, diseksa dan dirogol di penjara CIA

Dr Aafia Siddiqui, ibu kepada tiga anak dari Pakistan ini diculik dan diseksa di penjara Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Bagram selama beberapa tahun sebelum dipindahkan secara rahsia ke Amerika Syarikat (AS).

Ahli neurologi tersebut menjadi mangsa ketidakadilan AS selepas dijatuhi hukuman penjara 86 tahun pada 2010. Kes terhadap Dr Aafia Siddiqui dipalsukan oleh rejim bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Hukuman ke atasnya dirancang Mossad dan turut dibantu rejim bekas Presiden Pakistan Pervez Musharraf.

Kehidupan Awal Dr Aafia Siddiqui dilahirkan pada 2 Mac 1972 di Karachi, Pakistan merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik kepada pasangan Mohammad Siddiqui dan Ismet.

Beliau berpindah ke Texas sebelum melanjutkan pengajian ke Institut Teknologi Massachusetts (MIT) pada 1990. Ketika di MIT, Aafia menyertai Persatuan Pelajar Muslim (MSA) dan turut bergiat aktif dalam program memberi penjelasan mengenai keindahan agama Islam kepada penuntut bukan Islam serta memperoleh pencapaian akademik yang cemerlang.

Selepas tamat pengajian pada 1995, Aafia mengahwini pelajar perubatan, Mohammed Amjad Khan dan menyambung pengajian di Universiti Brandeis dalam bidang neurosains kognitif.

Akibat daripada kesukaran bagi orang Islam untuk terus tinggal di AS selepas insiden 9/11 menyebabkan Aafia dan suaminya memutuskan untuk kembali semula ke Pakistan.

Bagaimanapun, Aafia dan suaminya bercerai ketika beliau sedang hamil anak ketiga yang ketika itu kandungannya mencecah lapan bulan.

Pada Disember 2002, Aafia kembali semula ke AS tanpa membawa anak-anaknya untuk mencari pekerjaan di kawasan Baltimore.

Tidak lama selepas itu beliau bersama anaknya dilaporkan hilang selepas pihak berkuasa Pakistan menahan dalang serangan 9/11, Khalid Sheikh Mohammed.

Misteri kehilangan

Menurut ibu Aafia, wanita itu hilang tanpa khabar berita selepas meninggalkan rumah dengan menaiki teksi Metro pada 28 Mac 2003 untuk ke lapangan terbang.
Ketika berita kehilangannya dilaporkan, Kementerian Dalam Negeri Pakistan membuat pengesahan berhubung penahanan seorang wanita yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan.

Media turut melaporkan, Aafia diberkas agensi risikan di Karachi dan dihantar ke lokasi rahsia untuk disoal siasat.

Setahun selepas itu, jurucakap telah diserahkan kepada pihak berkuasa AS tanpa alasan kukuh.

Aafia dilaporkan hilang lebih setahun selepas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memuat naik gambarnya dalam laman rasmi mereka kononnya sebagai cara untuk mengaburi mata masyarakat.

Bagaimanapun, pada Februari 2010, anak sulung Aafia yang dibebaskan daripada tahanan pihak berkuasa tampil membuat pendedahan bagaimana dia bersama ibu dan adiknya ditahan kira-kira 15 hingga 20 orang menaiki empat kenderaan yang kemudiannya bertindak menculik mereka.

Ditahan selama lima tahun Aafia mendakwa beliau bersama anaknya diculik perkhidmatan risikan Pakistan sebelum dipindahkan ke pusat tahanan AS.

Wanita itu ditahan di beberapa lokasi rahsia selama lima tahun dan Aafia didera serta turut dirogol dengan kejam ketika beliau dipenjarakan di Bagram sebagai banduan 650.

Ketika itu, Aafia terpaksa menanggung derita kerana menjadi mangsa penderaan mental dan fizikal selama beberapa tahun.

Pada 4 Ogos 2008, pendakwa raya persekutuan AS mengesahkan Aafia dihantar ke AS dari Afghanistan.

Perbicaraan berat sebelah 

Perbicaraan ke atas Aafia berlangsung pada 19 Januari 2010 di Mahkamah Persekutuan Manhattan.

Beliau didakwa merancang melancarkan serangan ke atas Empire State, Brooklyn Bridge dan Wall Street serta cuba untuk menyerang pihak berkuasa AS.

Difahamkan, sepanjang dua minggu perbicaraan berlangsung, kebanyakan saksi dilaporkan turut memberi keterangan bercanggah hingga menyebabkan kes tersebut menjadi semakin rumit.

Pada 3 Februari, Aafia didapati bersalah di atas semua pertuduhan walaupun tiada bukti kukuh dan beliau ditahan sekali lagi di Pusat Tahanan Metropolitan di New York.

Pada April 2010, anak perempuan Aafia, Maryam dipulangkan semula kepada rumah keluarganya di Karachi oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Ketika dalam satu sidang media, Senator Talha Mehmood memaklumkan, Maryam Siddiqui ditemui di pangkalan tentera udara Bagram.

Menurutnya, budak malang itu dikurung tanpa perikemanusiaan dalam sebuah bilik gelap selama tujuh tahun.

Selepas beberapa kali perbicaraan ditangguhkan, Aafia akhirnya dijatuhi hukuman penjara 86 tahun selepas disabit bersalah di atas lima pertuduhan pada 23 September 2010.

Trivia

Aafia memiliki 144 sijil dan ijazah kepujian dalam bidang neurologi dari pelbagai institut pengajian tinggi di seluruh dunia.

Merupakan satu-satunya ahli neurologi di dunia yang dianugerahkan Doktor Falsafah oleh Universiti Harvard.

Enam bulan selepas bercerai, Aafia didakwa mengahwini Ammar al-Baluchi, sepupu kepada Khalid Sheikh Mohammed tetapi laporan itu dinafikan keluarganya.

Beliau adalah Hafizah al-Quran. Kini dilaporkan hilang ingatan akibat penderaan fizikal, seksual dan psikologi ke atasnya. Ditahan dalam kurungan seorang diri di Penjara Carswell di Texas.

Digelar Daughter of Nation.

Pergerakan Aafia ditubuhkan ketika ulang tahun ke-10 insiden penculikan beliau bersama tiga anaknya pada akhir Mac lalu.

Kehilangan anak bongsu Aafia, Suleman masih menjadi tanda tanya hingga kini.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Peluang BN menang PRU 14 lebih tipis jika Anwar jadi MB Selangor

Oleh : Shahbudin Husin

Sementara kedudukan Najib Razak sebagai Perdana Menteri sedang dipertikai dan diasak agar segera berundur bagi mengelakkan BN menerima kekalahan dalam PRU 14 nanti, Anwar Ibrahim nyata telah mengambil langkah yang jauh lebih ke depan dengan kemungkinan besar menjadikan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Khalid Ibrahim.

Sejak akhbar The Star mendedahkan kemungkinan Khalid Ibrahim meletakkan jawatan pada Rabu ini bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim memgambil tempatnya, atmosfera politik negara agak kalut seketika dengan perbincangan pro dan kontra mengenai perkara itu. 

Walaupun Anwar dan Khalid masing-masing menafikan perkara itu dan menganggapnya hanya khabar angin semata-mata tetapi dengan keluarnya berita perletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh menjelang jam 5.00 petang, semakin ramai yang meyakini perletakan itu adalah semata-mata untuk memberi laluan Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu dan seterusnya menjadi MB Selangor.

Dengan kemenangan besar Lee dalam pilihanraya umum lalu iaitu majoriti 6,824 undi, jika Anwar bertanding dalam pilihanraya kecil yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, tentulah tiada masalah besar untuk beliau mencipta kemenangan di kawasan itu. 
Lebih-lebih lagi dengan keyakinan bahawa Anwar bakal menjadi MB Selangor, tidak mustahil kemenangan yang lebih besar mampu dicapainya.

Langkah Anwar mengambil alih jawatan MB Selangor ini tidak diragui lagi adalah langkah bijaknya dalam menyelesaikan krisis di Selangor yang melibatkan antara Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali. 

Dengan Anwar menjadi MB Selangor, ia adalah jalan tengah yang mendamaikan antara kedua-dua kumpulan itu sehingga pilihanraya akan datang dan Khalid serta Azmin juga tentunya tiada halangan terhadapnya.

Tidak dinafikan bahawa krisis Khalid dengan Azmin, jika dibiarkan berlarutan bukan saja boleh menjejaskan peluang PR mengekalkan kemenangan di Selangor dalam pilihanraya umum akan datang, bahkan tidak mustahil selepas pilihanraya umum akan datang jumlah kerusi kemenangan PKR makin berkurangan dan ini tentunya memberi lebih peluang kepada ADUN Pas pula untuk menduduki kerusi MB Selangor.

Namun dengan Anwar menjadi MB Selangor, tidak saja ketegangan kumpulan Khalid dan Azmin dapat diredakan, malah juga menyebabkab tiada lagi keributan dalam Pakatan Rakyat dalam penentuan jawatan MB Selangor selepas ini. 

Seperti yang diakui, Pas dan DAP tentunya akan memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim dalam perhitungan ini.

Dalam masa yang sama, dengan melonjakkan isu beliau bakal mengisi jawatan MB Selangor, isu perceraian Nurul Izzah yang cuba dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk memberi gambaran buruk terhadap imej anaknya, dengan sendirinya telah menemui jalan matinya. Selepas ini, semua orang hanya akan memperkatakan tentang Anwar saja dan melupakan Nurul Izzah.

Dengan menjadi MB Selangor selama empat tahun menjelang pilihanraya umum akan datang, kedudukan Anwar dan Pakatan Rakyat secara realitinya akan bertambah kukuh lagi di mata rakyat jika beliau berjaya mentadbir negeri itu dengan jayanya dalam tempoh tersebut.

Dengan pengalaman sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor dan kedudukan rizab Selangor yang kukuh iaitu hampir RM3 bilion serta Selangor sendiri sebagai negeri yang paling maju, Anwar rasanya tidak menghadapi banyak masalah untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan kejutan untuk negeri itu. 

Jika itu dapat dilakukan, kedudukan sebagai MB Selangor akan menjadi laluan lebih selesa menuju Putrajaya.

Dalam masa yang sama, selain kedudukan Anwar dan Pakatan Rakyat akan bertambah kukuh menuju laluan ke Putrajaya setelah menjadi MB Selangor nanti, Noh Omar juga bolehlah melupakan hasratnya untuk menawan negeri itu dalam pilihanraya umum nanti dan sebaiknya mulai merangka surat persaraannya daripada arena politik.

Yang paling menarik dengan Anwar menjadi MB Selangor ini ialah berkenaan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri. Sementara beliau sedang dipertikaikan dengan pelbagai isu seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup, kalimah Allah dan sebagainya, dalam masa yang sama tekanan supaya beliau berundur juga semakin kuat kedengaran. 

Beberapa blogger pro UMNO dan Mahathir seperti Outsyed The Box, Apanama, Unspinners dan Kadir Jasin sedang mempertingkatkan tekanan agar Najib berundur dan memberi bayangan bahawa BN akan tewas jika beliau terus kekal sebagai PM. 

Terbaru pula, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin sudah mula mengkritik Najib secara terbuka dengan menggariskan beberapa kelemahannya serta turut meramalkan BN akan tumbang jika pilihanraya diadakan dalam suasana seperti sekarang ini.

Terdapat juga maklumat yang mengatakan dalam beberapa perjumpaan dengan kumpulan tertentu, Mahathir juga turut mengkritik Najib secara agak lantang dan tanpa segan silu. 

Maklumat lain pula menyebut, seiring dengan pendirian Mahathir bersetuju dengan pandangan Daim, bekas PM itu juga dikatakan sudah tidak lagi memberi sokongannya kepada Najib.

Bersama dengan tekanan dan asakan yang semakin kuat itu, bertambah kukuhnya kedudukan Anwar dengan menjadi MB Selangor pula, tidak dapat tidak, kedudukan Najib pastinya kian terhimpit. 

Dengan menjadi Ketua Pembangkang dan kuasa sebagai MB Selangor dalam masa yang sama, aura Anwar dan kestabilan Pakatan Rakyat dalam menghadapi BN dalam PRU 14 juga turut meningkat.

Ini akan menjadikan tekanan daripada dalam UMNO terhadap Najib turut meningkat. Menunggu Najib berubah, menjadi lebih tegas dan menyelesaikan semua isu berbangkit, mungkin hanya tindakan membuang masa. Tindakan terbaik pastinya memaksa beliau berundur dan digantikan dengan pemimpin lain.

Hanya dengan pengunduran Najib dalam kadar yang lebih segera mungkin memberi sedikit peluang kepada BN dalam pilihanraya umum nanti.
Sumber : Blog Nizar

Baca lagi >>

Kebahagiaan berganda di bulan Januari bagi Keluarga Ustaz Don

Di dalam Facebook beliau ada disenaraikan 3 peristiwa yang mengembirakan keluarga Ustaz Don dan kegembiraan ini tertumpu kepada isteri Ustaz Don iaitu Puan Husna.

Kebahagiaan berganda Januari:
  1. Selamat melahirkan Don Jr.
  2. Menyambut hari lahir selang sehari selepas bersalin.
  3. Tamat pengajian perubatan (Konvo).
Ini pula video cukur rambut anak ustaz Don yang bernama Don Mustofa Bin Don Daniyal Bin Don Biyajid Bin Mustofa.


Tahniah Ustaz Don dan Puan Husna!
Sumber : FB Ustaz Don

Baca lagi >>