Monday, 27 January 2014

Ghaib semasa berhenti buang air

Jempol: Kehilangan seorang penduduk di Ladang Sawit FELDA Raja Alias 2, di sini, sejak Jumaat lalu menggemparkan orang ramai apabila timbul khabar angin kononnya lelaki berusia 33 tahun berkenaan dilarikan ‘orang bunian’.

Solat hajat beramai-ramai dibuat sebelum gerakan mencari lelaki itu.
Pekerja kontrak yang hilang, Mohd Nizam Ahmad, kali terakhir ditemui rakan sekerja kira-kira jam 5.30 petang pada Jumaat lalu, selepas dia yang pulang menaiki van bersama rakan lain dari tapak pembinaan di Kuala Klawang, dekat sini, berhenti membuang air kecil di ladang itu sebelum pulang ke rumahnya di FELDA Raja Alias 4.

Namun, rakan sekerja yang menunggu Mohd Nizam di dalam van terkejut selepas mendapati lelaki terbabit tidak membuang air kecil, tetapi sekadar menghadap sebuah pokok sebelum berlari ke dalam ladang berkenaan.

Hampir seminggu tidak ditemui, sebuah badan bukan kerajaan bersama 80 penduduk akhirnya menjemput ustaz dari sebuah pusat rawatan Islam kelmarin, bagi menggerakkan operasi mencari selepas keluarganya bimbang kehilangan itu.

Dalam solat hajat, bacaan Yasin dan zikir, pengamal perubatan Islam, Ustaz Abd Ghani Ahmad Zaighu mengetuai gerakan mencari bersama penduduk jam 9.45 malam.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Polis Ukraine diusir penunjuk perasaan

Di Ukraine, kumpulan penunjuk perasaan bertindak mengusir pasukan polis khas dari pusat persidangan antarabangsa di sini yang digunakan sebagai pangkalan anggota keselamatan di negara tersebut.

Penunjuk perasaan menawan pangkalan polis dalam insiden protes terbaru di ibu negara.
"Premis tersebut telah ditawan sepenuhnya. Pihak berkuasa memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan bagi mengelakkan sebarang insiden pertumpahan darah yang lebih buruk," jelas jurucakap Kementerian Dalam Negeri kepada Press TV.

Kelmarin, Presiden Viktor Yanukovych cuba untuk meredakan ketegangan di negara itu dengan menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada pemimpin pembangkang, Arseniy Yatsenyuk.

Difahamkan, tawaran itu dibuat selepas rundingan pusingan kedua yang diadakan oleh Yanukovych bersama pemimpin pembangkang gagal mencapai kata sepakat.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Kerusi Dun N25 dikosongkan dan Anwar Ibrahim akan jadi MB Selangor?

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat hari ini.

Perkara itu diumumkan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh petang ini dan akan dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.

Lee Chin Cheh
Yeoh berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan pada hari ini.

“Dengan ini, saya mengisytiharkan kerusi DUN N25 Kajang dikosongkan dan SPR seharusnya menjalankan pilihan raya kecil dalam masa 60 hari," kata Yeoh.

Berhubung sebab peletakan jawatan itu, Yeoh berkata perkara itu harus diajukan kepada Lee (kanan) sendiri.

Dalam pilihan raya umum lalu, Lee sebagai calon PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, BERJASA dan tiga calon bebas.

Kawasan itu mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus.
Anwar akan bertanding di Kajang?

Peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang membuka persoalan sama ada tempat itu akan ditandingi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad (kiri) berkata, walaupun hanya mengetahui pengunduran itu melalui media, beliau difahamkan bahawa PKR akan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Saya hanya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution semalam bahawa PKR akan meminta Tan Sri Khalid berundur dan Anwar akan bertanding pada satu pilihan raya kecil,” katanya

Menjawab SMS Malaysiakini hari ini, beliau berkata, beliau akan membincangkan perkembangan itu dengan PAS negeri dan pusat dan merasakan ia masih memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

“Perkara seperti ini sepatutnya dibincang dengan semua parti,” katanya ketika ditanya sama ada PAS Selangor bersetuju dengan pengunduran Lee itu.

Spekulasi itu timbul ekoran laporan The Star Online bahawa Anwar akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

Portal itu melaporkan bahawa Khalid bersetuju melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.

Anwar bagaimanapun menafikannya.

DAP: Tak pernah bincang

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua (kanan) berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan atau persetujuan dibuat untuk menggantikan menteri besar Selangor dibuat.

“Tidak pernah dibincangkan,” katanya menjawab soalan Malaysiakini.

Sementara itu, Yeoh yang juga ADUN DAP bagi kawasan Subang Jaya jari ini turut ditanya berhubung kemungkinan calon untuk kawasan itu.

“Saya tidak mahu cakap perihal calon dan saya tidak mahu mengulas khabar angin. Agak awal untuk membuat spekulasi. Sehingga hari ini kerusi ini kosong. Itu sahaja,” katanya.

Yeoh juga berkata, oleh kerana ia kerusi PKR, parti itu yang akan mengumumkannya.

Penganalisis: Anwar jadi MB adalah perkara mustahil

Sementara itu, penganalisis politik James Chin (kiri) pula beranggapan mustahil Anwar akan menjadi menteri besar Selangor kerana kedudukannya sekarang sebagai pemimpin nasional.

"Jika beliau jadi menteri besar dia akan berada di kedudukan sama dengan Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang. Itu mustahil," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini.

Chin menganggap cerita 'kurang senang' mengenai PKR itu berkaitan dengan pemilihan parti itu April depan.
Sumber : Malaysiakini 1, 2

Baca lagi >>

Kamunting, pusat tahanan berkonsep penjara agro

Tempat Tahanan Perlindungan Taiping (TTPT) Perak yang dikekalkan sebagai pusat tahanan berkonsepkan penjara agro, akan menjadi pusat pelancongan pertanian terkenal di negara ini, menjelang 2020.
 
Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata TTPT akan membabitkan projek pertanian seperti penanaman sayur-sayuran, penternakan haiwan dan ikan serta perladangan kenaf.

"TTPT dijangka menerima pendapatan lebih RM1.5 juta setahun selepas semua projek pertaniannya disiapkan berbanding RM520,000 pada tahun lalu," katanya ketika mengadakan lawatan ke tempat tahanan tersebut di Kamunting hari ini.
    
Isnin lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata TTPT akan kekal sebagai pusat tahanan dengan konsep penjara agro selaras dengan konsep sara diri yang diperkenalkan Jabatan Penjara.
    
Ahmad Zahid berkata tempat tahanan yang lebih dikenali sebagai Kem Tahanan Kamunting akan diguna untuk mengeluarkan produk makanan seperti sayuran dan ikan bagi kegunaan banduan.
    
Zulkifli berkata antara projek yang akan dilaksanakan ialah meningkatkan pengeluaran ikan air tawar iaitu ikan keli daripada 51 kolam kepada 100 kolam yang boleh menghasilkan 500,000 ekor ikan dengan harga RM6.50 sekilogram.
    
Katanya, jumlah lembu ternakan akan ditingkatkan daripada 32 ekor kepada 100 ekor dalam tempoh terdekat hingga mencapai kapasiti 200 ekor lembu.
    
"Pusat sembelihan dan memproses daging lembu juga akan dilaksanakan," katanya.
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Gambar pelupusan bangkai ikan Paus Sperma di Uruguay

Pihak berkuasa Uruguay pada minggu lepas menemui bangkai ikan paus sperma berukuran 16 meter di pesisir pantai ibu kota. Biasanya ikan ini hidup di kawasan laut dalam.

Dengan menggunakan kren, pihak berkuasa memindahkan ikan itu dari perairan menuju ke pantai Carrasco, sebuah kota mewah di sebelah Montevideo untuk dilupuskan.

Bangkai pemangsa bergigi - Ikan paus sperma adalah yang terbesar bagi paus jenis bergigi dan haiwan bergigi terbesar di dunia.
Spesis yang jarang kita lihat - Ikan paus 16 meter (52.5 kaki)sepanjang ditemui terdampar di Pantai Carrasco, Uruguay.
Seberat 25 tan - Tentera Laut dan pegawai penyelamat menggunakan jenkaut untuk mengalihkan mamalia marin seberat sehingga 25 tan itu untuk ditanam di tapak pelupusan berhampiran.
Hanya tinggal bangkai - Orang ramai berpusu-pusu melihat ikan paus yang diangkat menggunakan tren walaupun bau busuk bangkai tersebut menusuk hidung.
Perjalanan terakhir - Bangkai ikan paus sperma yang terdampar di Pantai Carrasco ditanam di tapak pelupusan berhampiran Montevideo, Uruguay.
Lalu lintas di daerah sekitar sesak akibat penduduk setempat berpusu-pusu pergi melihat keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya tidak pernah lihat ikan paus sperma terdampar di sini, mereka berasal dari laut yang sangat dalam," kata Rodrigo Garcia, dari organisasi perlindungan ikan paus.

Pihak berkuasa diharapkan agar segera menyelidiki punca kematian ikan paut tersebut.

Garcia juga berkata bahawa ikan tersebut tidak menunjukkan adanya luka luaran yang jelas, dan seperti lumba-lumba mereka sangat sensitif terhadap suara.
Sumber : Astro Awani

Baca lagi >>