Wednesday, 22 January 2014

Muat turun percuma 6 majalah digital untuk 3.4 juta pengguna Astro

Enam majalah terbitan Astro kini boleh didapati dalam bentuk atas talian sempena pelancaran Astro Digital Publications yang dijenamakan semula dari Astro Publications.

Enam majalah berkenaan ialah Men's Uno, Car, In Trend, i-Feel, FHM dan Style yang memaparkan isu fesyen, automotif dan gaya hidup.

Ketua pegawai operasi Astro, Henry Tan berkata, pelancaran itu dilihat salah satu cara terbaik peminat majalah dalam talian bersantai serta mendapat maklumat terkini.

“Apa yang dilancarkan hari ini bukan dalam bentuk PDF statik tetapi video penuh yang memaparkan kecanggihan dan interaktif serta kemas kini makumat dari minit ke minit. Kita juga sedia maklum masyarakat negara ini memang suka membaca majalah,” ujarnya.

Tambah Henry, pihaknya juga akan terus berusaha dan berinisiatif untuk mengisi minda dan maklumat yang tidak terhad kepada pembacanya.

Versi majalah digital itu boleh dimuat turun percuma oleh 3.4 juta isi rumah Astro mulai 10 Februari depan.
Sumber : Astro Awani

Baca lagi >>

Flat Pekeliling akhirnya dirobohkan

KUALA LUMPUR: Selepas lama terbiar Flat Tunku Abdul Rahman yang lebih dikenali Flat Pekeliling di Jalan Pekeliling, di sini mula dirobohkan oleh pihak pemaju Asie Sendirian Berhad, hari ini.

Nama sebenar adalah Perumahan Awam Tunku Abdul Rahman (TAR) mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama tetapi popular dengan nama Flat Pekeliling.

Lokasinya terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur berhampiran bulatan Pahang. Bagi sesetengah anak kota flat ini ada kenangan tersendiri.
Kerja meroboh lima blok flat itu dilakukan pada jam 12.40 tengahari tadi selepas jengkaut seberat 11 tan diangkat ke tingkat 17 salah satu bangunan berkenaan menggunakan kren seberat 300 tan.
JENGKAUT dan kren digunakan untuk kerja perobohan.
Kerja itu dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2015. 

Bagi projek perobohan itu Asie Sendirian Berhad melantik Syarikat Chang Chern Demolition Specialist selepas mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Oktober lalu.
PEKERJA pembinaan menarik jentolak yang diangkat untuk kerja merobohkan blok G Flat Pekeliling.
Pegawai Keselamatan Pekerjaan Chang Chern Demolition Specialist, Dr C Sivakumar berkata, tempoh untuk merobohkan setiap blok flat itu mengambil masa kira-kira empat bulan.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Polis buru individu pertama sebar gambar Nursyafiqah di internet

Pihak polis sedang memburu individu pertama yang disyaki menyebarkan gambar mayat kanak-kanak berusia dua tahun yang ditemui mati di dalam sebuah rumah kosong di Taman Perumahan Permint Seberang Paka, Terengganu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan ketika dihubungi menafikan gambar datangnya dari sumber polis dan mengutuk keras perbuatan yang dianggap tidak sensitif oleh individu terbabit.

Gambar itu turut mendapat kritikan ramai di laman sosial sejurus ia dimuat-naikkan.
"Kami tidak tahu identiti orang pertama yang menyebarkan foto itu di media sosial. Kemungkinan orang yang mengambil gambar tersebut sampai ke tempat kejadian lebih awal daripada pihak polis. Kami tidak pasti. Kami masih sedang menyiasat," Manoharan memberitahu Astro AWANI.

Nursyafiqah Abdullah yang dilaporkan hilang  sejak 17 Januari lalu, ditemui oleh seorang pengawal keselamatan dalam keadaan mula mereput selain ada kesan darah kira-kira jam 3.30 petang.

Ibunya Rabiatul Adawiyah Mamat, 28, sebelum itu dilaporkan meninggalkan kanak-kanak itu didalam keretanya yang tidak berkunci, untuk bertemu dengan rakannya di sebuah restoran di Kuala Paka.

Apabila dia kembali ke keretanya, anaknya itu didapati hilang.

Rabiatul Adawiyah yang membuat laporan polis kemudiannya, memberitahu pihak polis yang dia pernah mendapat ugutan bunuh sebelum ini.

Tindakan penyebaran foto kanak-kanak itu di laman media sosial dipersoalkan oleh banyak pihak termasuk mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa berkata perbuatan itu menunjukkan orang yang menyebarkannya tiada perasaan dan suka dengan keganasan.
Sumber : Astro Awani

Baca lagi >>

Lori hempap rumah, 9 keluarga diberi penempatan baru

Kerajaan Negeri bersedia untuk memperuntukkan tanah atau menyediakan penempatan baru yang lebih selamat kepada sembilan buah keluarga di Kampung Sri Indah yang kini diancam bahaya berikutan kediaman mereka berhampiran lebuhraya.

Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata keputusan itu dimaklumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid kepadanya dalam satu pertemuan singkat di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), semalam.

Katanya beliau bersyukur apabila masalah rakyat yang sudah menetap lebih 20 tahun di kawasan itu akhirnya akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Semalam saya sudah sampaikan kepada Menteri Besar tentang masalah penempatan sembilan buah keluarga yang telah lama menetap di kawasan ini iaitu sebelum lebuh raya di situ siap dibina.

“Saya bersyukur kerana menteri besar menyatakan persetujuan beliau untuk membantu memindahkan kesemua keluarga ini ke kawasan lain yang lebih selamat,” katanya kepada Selangor Kini.

Khairuddin melalui status Facebooknya semalam memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan insiden sebuah lori membawa konkrit Mass Rapid Transit (MRT) “terbang” ke atas salah sebuah kediaman di Dun Paya Jaras sehingga meranapkan rumah terbabit.
Berikutan itu, keluarga mangsa yang terlibat ditempatkan sementara di sebuah rumah surau untuk sehingga penempatan baru siap dibina oleh kerajaan negeri.

Dalam kejadian semalam, seorang maut manakala dua yang lain cedera apabila sebuah treler terbabas lalu merempuh dua kenderaan sebelum terhumban kira-kira 20 meter yang kemudian menghempap sebuah rumah.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 1:30 tengah hari di kilometer 453.2 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur Hospital Sungai Buloh.

Siasatan awal mendapati, sebuah treler dari arah Rawang dikatakan hilang kawalan setelah tayar hadapannya pecah.

Treler membawa muatan dua unit konkrit landasan MRT seberat lebih 30 tan, kemudian merempuh sebuah kereta di lorong kanan.

Ia kemudian melanggar besi pembahagi lebuh raya dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh pula sebuah motosikal.

Treler kemudian terhumban kira-kira 20 meter dan menghempap ruang tamu sebuah rumah.
Sumber : Selangor Kini

Baca lagi >>

Produk tradisional 'Delima Raja Urat' ada racun berbahaya

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak membeli atau menggunakan produk tradisional 'Delima Raja Urat' kerana didapati mengandungi racun berbahaya iaitu dexamethasone.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Eisah A Rahman berkata berdasarkan label pada produk, ia diguna untuk sakit urat, sakit pinggang, lenguh sendir tulang, sakit lutut, kebas kaki tangan, gout, lemah tenaga dan letih lesu.

Namun, beliau berkata hasil ujian Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) mendapati produk itu mengandungi dexamethasone iaitu sejenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
"Dexamethasone adalah agen anti radang yang poten dan biasa digunakan dalam rawatan alergi dan ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor. Dexamethasone tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam ubat tradisional.

"BPFK telah menerima dua laporan kesan advers yang melibatkan produk Delima Raja Urat dan kesan advers yang dilaporkan ialah urticaria, vasculitic rash dan Addisonian crisis," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Eisah berkata penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma.

"Pesakit juga boleh mengalami 'Cushing's syndrome' yang dicirikan dengan muka membulat dan bahagian atas badan membesar tetapi lengan dan kaki seolah mengecil," katanya.

Eisah menasihatkan mereka yang mempunyai stok produk itu supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.

Beliau juga menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk Delima Raja Urat supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan daripada profesional kesihatan.

"Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual pada harga tidak munasabah dengan tuntutan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit," katanya.

Eisah turut menasihatkan pesakit yang mengidap penyakit kronik seperti diabetes (kencing manis) agar tidak menggunakan produk tidak berdaftar seperti itu yang berkemungkinan dicampur dengan bahan terlarang kortikosteroid kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal seterusnya mengakibatkan komplikasi serius.

Orang ramai juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-7833 5400 atau melayari laman web www.bpfk.gov.my. 
Sumber : mStar

Baca lagi >>

Tempoh cuti bersalin dan kadar bayaran di seluruh dunia

Berikut adalah info grafik tentang tempoh cuti bersalin dan kadar bayaran bulanan kepada pasangan yang melahirkan anak di seluruh dunia. Perbezaan ini adalah bergantung kepada sejauh mana keperihatinan kerajaan mereka terhadap masa depan generasi yang baru lahir.

Baca lagi >>

Tergamak bakar rumah bapa sendiri

Di Kota Bharu, gara-gara membakar rumah bapanya sendiri, seorang penganggur menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Gambar Hiasan
Mohamad Faizie Mohd Noor, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah beralamat Lot 58, Jalan Kuala Krai, Batu 3, Kampung Wakaf Che Yeh pada 7 malam, 7 Julai tahun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 486 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda.

Ketika rayuan, Mohamad Faizie yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman bermula dari tarikh dia ditahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof bagaimanapun memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat bagi maksud menjaga kepentingan awam dan kerugian yang terpaksa ditanggung mangsa yang juga bapa tertuduh. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Jadi gagah lepas telan 100 bebola besi

Akibat taasub ilmu mistik, seorang warga emas tergamak memaksa menantu lelakinya menelan 100 bebola besi yang setiap satu sebesar wang syiling lima sen kononnya supaya diri gagah dan hebat dalam seni mempertahankan diri.

Menantu itu yang mahu dikenali sebagai Ramlan, 28, berkata, mentuanya mendakwa mempunyai kekuatan luar biasa selepas menelan 100 bebola besi beberapa tahun lalu.

Berikutan itu, katanya, ayah mentuanya yang berusia 60-an memaksanya berbuat demikian supaya kerja mereka sebagai penyelia keselamatan di tapak pembinaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Ayah mahu saya mengikuti upacara ‘telan besi’ dikendalikan seorang bomoh warga Indonesia di Gombak, tapi saya tak mahu terbabit dengan ilmu karut itu.

“Akibatnya, saya dibuang kerja dan saya nekad membawa isteri serta anak keluar dari rumah mentua. Tapi, ayah semakin marah dan kini sering mengganggu kami,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Tambang bas sekolah naik, ibu bapa sanggup bayar

Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini mendakwa isu kenaikan tambang bas sekolah juga berpunca daripada kesanggupan ibu bapa membayar kadar baharu tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) itu berkata, tidak timbul isu kedegilan pengendali bas sekolah yang tetap ingin menaikkan kadar tambang sebanyak 40%, kerana akhirnya ibu bapa terpaksa akur apabila tiada alternatif lain untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), Tan Sri Syed Hamid Albar, dalam perjalanan KTM ke Stesyen Bandar Tasik Selatan bagi program kempen kesedaran dan pematuhan Spad ICOP di Stesyen Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, Spad membuka talian bebas tol untuk ibu bapa membuat laporan, agar tindakan dapat diambil.
"Kadar kenaikan ini tidak akan berlaku kalau tidak kerana ibu bapa yang sanggup membayar, dan selama ini pun yang kedengaran hanya rungutan namun tidak ada tampil membuat laporan," katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan program kempen kesedaran dan pematuhan Spad ICOP di Stesyen Bandar Tasik Selatan.

Sebelum ini Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) tetap akan menaikkan surcaj tambang bas sekolah bermula Januari ini sebanyak 40%, walaupun Spad masih tidak membuat keputusan tentang tambang baru bas sekolah.

Presiden PPBSM Amali Munif Rahmat berkata, kenaikan itu merupakan satu keperluan setelah kerajaan mengumumkan kenaikan harga diesel sebanyak 20 sen pada September.

Oleh kerana tiada ibu bapa yang tampil membuat laporan, beliau berkata Spad tidak dapat mengambil tindakan terhadap pemilik bas sekolah yang menaikkan kadar tambang.

Katanya, keadaan pasti bertambah sukar bagi ibu bapa sekiranya Spad bertindak menggantung lesen bas sekolah.

Kalau kita ambil tindakan batalkan lesen pengusaha bas sekolah jadi bagaimana budak hendak pergi sekolah? " soalnya.

"Sekiranya ibu bapa tampil membuat aduan berserta bukti, maka perkara ini pasti boleh dibawa ke mahkamah."

Syed Hamid berkata Spad kini dalam usaha memikirkan cadangan bagi mengurangkan kos kenaikan kepada pengusaha bas sekolah.

Salah satu cadangan yang mungkin dikemukakan adalah penggunaan iklan bergerak sebagai pendapatan lebih bagi pengusaha bas, supaya mereka tidak menaikkan tambang bas sekolah, katanya.

Apabila ditanya adakah kemungkinan akan berlakunya kenaikan kadar tambang pada pengangkutan awam lain, beliau berkata pihaknya cuma menyelaraskan, bukannya menaikkan.

"Ada perbezaan antara menaikkan dan menyelaraskan, dan kita lebih senang dengan terma penyelarasan kadar," katanya.

Tambahnya, kuasa untuk menaikkan kadar pengangkutan awam juga tidak terletak pada Spad.

"Kita tidak ada kuasa untuk itu, tapi kita akan menyelaraskan, dengan erti kata lain, melihat kadar yang boleh diterima semua.

Baca lagi >>