Tuesday, 21 January 2014

Filem Hollywood milik Riza Aziz diharamkan di Malaysia

Filem tersohor tetapi sarat dengan kontroversi 'The Wolf of Wall Street' dilaporkan diharamkan tayangannya di Malaysia ekoran bahasa dan kandungan yang lucah.

"Sumber-sumber dalaman pejabat filem kerajaan Malaysia memaklumkan THR yang pengedar filem itu sedia maklum yang mereka akan berhadapan masalah besar dengan lembaga penapisan kerana kelucahan, babak bogel serta seks sewaktu tayangannya," lapor laman web hiburan The Hollywood Reporter.

Filem itu diterbitkan Red Granite Pictures, syarikat yang dimiliki bersama oleh Riza Aziz (kiri) yang merupakan anak Datin Seri Rosmah Mansor, hasil daripada perkahwinan pertamanya.

Filem Hollywood yang diarahkan Martin Scorcese itu menyaksikan pelakon utamanya, Leonardo DiCaprio memenangi anugerah pelakon terbaik bagi kategori komedi dan muzikal pada anugerah Golden Globe ke-71 Ahad lalu.

Presiden Red Granite Pictures, Christian Mercuri dipetik oleh THR sebagai berkata kandungan filem itu bermasalah bagi wilayah-wilayah tertentu .
"Sebahagian daripada kandungan dalam filem itu menjadikannya sukar dibenar tayang di wilayah tertentu di mana mereka membuat tapisan dan boleh mengharamkan tayangan sesebuah filem," beliau dipetik sebagai berkata.

"Anda cuba membuat filem untuk penonton di seluruh dunia. Ini sebuah filem yang menakjubkan sepanjang tiga jam tayangannya. Adalah mengecewakan apabila negara-negara tertentu tidak membenarkan seni ditayangkan secara keseluruhan," katanya.

Filem, yang merupakan pesaing untuk Academy Award tahun ini, mencipta rekod penggunaan perkataan lucah 'F' paling banyak dalam filem R-rated. Menurut Variety, perkataan 'F' itu didiucapkan 506 kali dalam filem itu, atau 2.81 kali seminit.

Red Granite Pictures membenarkan kandungan tertentu filem itu dipotong untuk melepasi proses tapisan di beberapa negara.

Sebagai contoh, bagi tayangan di India, ada babak terpaksa dipotong iaitu adegan pesta seks gay liar dan adegan onani di tempat awam.

Setakat ini, filem itu telah mengutip AS $80 juta di Amerika Syarikat dan AS$40 juta di peringkat antarabangsa.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Perodua guna teknologi EEV dalam masa 5 tahun

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meninjau untuk meningkatkan teknologi kenderaan cekap tenaga (EEV) dalam masa lima tahun akan datang, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh.

Bagaimanapun, beliau berkata pengeluar kereta nasional kedua ini perlu membuat keputusan dahulu untuk melabur dalam teknologi berkenaan memandangkan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 baru diumumkan hari ini.

"Sudah tentu, banyak penglibatan dengan kerajaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Institut Automotif Malaysia (MAI) dalam usaha untuk memahami definisi sebenar (EEV).
"Kami berharap keputusan kami terbukti tepat," kata beliau kepada pemberita selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan NAP di sini, hari ini.

Perodua menempatkan kedudukannya di bawah segmen Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) EEV, yang terdiri daripada tiga segmen iaitu ICE, hibrid dan kenderaan elektrik.

"Alasan mengapa kami tidak memasuki segmen hibrid dan elektrik adalah kerana sebahagiannya melibatkan kos pelaburan yang tinggi yang boleh menyebabkan harga kereta menjadi lebih mahal sedangkan kami mengeluarkan kenderaan yang berkualiti dan mampu milik.

"Sebab lain pula ialah berat bateri. Dalam kereta kompak, adalah sangat penting untuk membina kenderaan seringan mungkin untuk kecekapan bahan api yang lebih baik," katanya.

Mengenai NAP yang baru diumumkan itu, Aminar berkata beliau gembira kerajaan turut menimbangkan beberapa 'hasrat' Perodua.

"Apabila kerajaan membuat keputusan terbaik bagi industri, mereka perlu mendengar pendapat orang ramai. Beberapa cadangan kami terdapat dalam senarai dasar tetapi bagi saya sendiri apa yang lebih utama ialah NAP lebih menyeluruh," tambahnya.

Sasar lulus 3-4 lesen keluar EEV menjelang 2018

Kerajaan menyasarkan untuk meluluskan sekurang-kurangnya tiga hingga empat lesen pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) menjelang 2018 menerusi Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014), sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab EEV Asean.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan NAP 2014, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kementerian itu sedang berunding dengan tiga syarikat asing yang akan menerima insentif menerusi NAP 2014.

Beliau berkata, pengecualian duti eksais dan cukai import untuk kenderaan hibrid dan elektrik (EV) juga akan dilanjutkan bagi model-model yang dipasang di Malaysia.

Pengecualian itu dilanjutkan hingga 31 Disember, 2015 untuk hibrid dan 31 Disember, 2017 bagi EV.

Selepas tempoh itu, pengecualian akan diputuskan berdasarkan nilai strategik pelaburan pemasangan kenderaan unit komponen terurai (CKD).
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

77 buah kereta hangus, 25 selamat

Sekurang-kurangnya 77 kereta hangus manakala 25 lagi dapat diselamatkan dalam kebakaran sebuah bengkel di Batu 8, Selayang, di sini, kira-kira 8 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran berkenaan pada 8.08 malam.

"Dua belas anggota diperkuatkan dengan dua jentera dari Balai Bomba Selayang dan Balai Bomba Gombak bergegas ke lokasi kejadian. 
"Kita tiba di lokasi kebakaran lima minit kemudian sebelum usaha memadam kebakaran berkenaan dilakukan," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa hampir sejam bagi mengawal kebakaran berkenaan.

"Siasatan awal mendapati 77 kereta hangus manakala 25 lagi dapat diselamatkan. Tiada kecederaan dilaporkan, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Kisah sedih budak 9 tahun jadi jurujual Pusat Tahfiz Amal

Usianya saya anggarkan tidak lebih 9 tahun. Saya menamakan dia 'Iman'. Tatkala ditemui, dia mundar-mandir seorang diri di stesyen minyak. Tangannya menggenggam erat botol jel panas, produk keluaran SM Amin bersama resit Pusat Tahfiz Amal, PTA beroperasi di Kedah.

Siapakah tidak belas melihat Iman? Dia terpaksa berdiri lebih 8 jam sehari, menunggu sebilangan individu bersimpati lalu membeli produk dijualnya. Iman dihantar ke stesyen minyak oleh individu dipanggil 'ustaz'. 

Ustaz kemudian meninggalkan Iman di lokasi itu sendirian sehingga malam melebarkan sayapnya. Menjelang jam 12, Iman dijemput pulang menaiki kereta dan dibawa ke rumah transit PTA. Iman bukan satu-satunya mangsa diperhambakan, ratusan lagi remaja seusia dengannya terpaksa menempuh pengalaman menyeksakan itu. 
Iman tidak mampu membantah. Dia hanya menuruti kehendak pengurusan PTA kerana PTA berjanji kepada ayah dan ibu hidup susah untuk memberikan Iman pendidikan agama percuma. 

Iman sepatutnya menghafaz Al-Quran di Kedah tetapi kelasnya kosong kerana rakan lain juga senasib dengannya. Dikerah oleh pihak pengurusan PTA menjual produk keluaran jutawan juga BEKAS KETUA AJARAN SESAT, SM Amin di seluruh Malaysia.

"Kalau jel ini tidak dibeli, bagaimana? Apakah terjadi?," soal saya.

"Nanti ustaz marah," jawabnya dengan wajah kepenatan.

Iman takut tetapi tiada siapa mampu menghulurkan bantuan kepadanya. Iman bersendirian biarpun dikelilingi oleh ratusan pelanggan berkunjung ke stesyen minyak terbabit.

Apakah daya Iman untuk membebaskan dirinya dari belenggu perhambaan nyata di mata manusia? Dia tidak berdaya menyanggah suruhan individu kebal dari tindakan undang-undang. Iman tidak pernah mengenali Akta Kanak-Kanak 2001. 

Dia juga tidak pernah didedahkan dengan Akta Pemerdagangan Orang 2007. Iman didoktrinkan agar mematuhi arahan, mengutip derma kononnya untuk membiayai kos operasi PTA, tanpa sebarang bantahan.

Dijangka, RM15,000 dikutip oleh ratusan pelajar seperti Iman setiap hari di seluruh negara. Pelajar diperkudakan oleh PTA. Dalam tempoh sebulan, PTA dianggarkan meraih RM450,000. 

Poket seluar siapakah semakin kembung? Wang di akaun bank siapakah semakin bertambah? Iman sendiri tidak mampu menjawab soalan itu.
Sumber penuh : Mazidul Akmal

Baca lagi >>

Tiada beza antara Yahudi Zionis dan Nazi

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang terkenal sikap keras beliau kepada Yahudi hari ini sekali lagi menempelak negara Israel dalam blog beliau.

Mahathir berkata Israel dan Yahudi harus dihakimi berdasarkan tindakan semasa mereka, dan tak perlu dimaafkan hanya kerana kisah silam yang tragik.

"Dunia dikehendaki bersimpati dengan Yahudi kerana 'Holocaust'. Itu sejarah. Dunia seharusnya menghakimi Israel berdasarkan tindakan mereka hari ini," kata beliau.

Mahathir memberi komen mengenai cara Israel menguruskan pendatang dari Afrika yang mencari perlindungan dari keadaan negara mereka di sana.

Memberi paralel berdasarkan pengalaman kaum Yahudi di bawah Hitler yang cuba memisahkan golongan Aryan dari golongan lain, beliau berkata perbezaannya hanyalah pihak Yahudi tidak menghantar pendatang ini ke kem tahanan, sebaliknya memaksa mereka tinggal di bahagian paling miskin atau 'ghetto' di sekitar Tel Aviv.

"Mereka (pendatang) tidak dibenarkan bekerja. Malah mereka diludah oleh penduduk Yahudi. Israel cuba mengeluarkan mereka dari negara itu dan menawarkan $3,500 jika mereka bersetuju kembali ke negara asal.

"Dari semua segi, pendatang Afrika ini dilayan sama seperti layanan terhadap Yahudi di 'ghetto-ghetto' sekitar Eropah sebelum Perang Dunia ke-2," tambah beliau.

Mahathir turut berkata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bimbang dengan kemungkinan darah Afrika bercampur dengan darah Yahudi.

"Nampaknya Yahudi mempercayai 'keaslian darah'. Tiada bezalah antara Nazi dan Yahudi. Penindasan terhadap rakyat Palestin merupakan satu lagi petunjuk. Dengan kuasa, Yahudi bertindak sama seperti Nazi," kata beliau.
Sumber : Malaysiakini

Baca lagi >>

Pelik! Isteri kahwin dua?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abd Razak memfailkan permohonan cerai terhadap seorang wanita yang didakwa sebagai isterinya dan mendakwa defendan sudah berkahwin lain.

Permohonan itu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam dan Wan Amizan turut membuat satu lagi permohonan iaitu mahu mahkamah memfarakkan (membubarkan) perkahwinan defendan dengan pasangannya.

Bagaimanapun, defendan Azma Azifazilla Azan, 28, yang juga pemilik restoran, membantah permohonan Wan Amizan sambil menegaskan dia tidak pernah berkahwin dengan ahli politik itu serta membawa bersama akuan bersumpah bagi menyokong kenyataannya. 
Azma Azifazilla berkata demikian selepas peguam syarie Mohamad Isa Abd Ralip yang mewakili Wan Amizan memohon kepada mahkamah untuk menyerahkan saman bagi memfarakkan perkahwinannya dengan Rizal Md Radzi, 40.

Ketika memfailkan permohonan, Mohamad Isa berkata anak guamnya mendakwa masih suami sah kepada Azma Azifazilla dan menamakan wanita itu sebagai defendan pertama manakala Rizal defendan kedua.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin kemudian mencadangkan defendan memfailkan pembelaan atau bantahan awal sekiranya berpandangan tuntutan yang dibuat plaintif itu tidak relevan namun ia perlu dibuat secara bertulis. 

Mahkamah turut menasihati kedua-dua defendan melantik peguam bagi mengimbangi kes dan menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula. Wan Amizan, 42, yang turut diwakili peguam Anita Arifin memfailkan permohonan cerai terhadap Azma Azifazilla pada Disember lalu mengikut Seksyen 47 Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. 

Manakala bagi permohonan membubarkan perkahwinan, ADUN itu mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 61(3)(b)(i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

Wan Amizan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut pada mulanya hadir di mahkamah tetapi pulang sebelum prosiding bermula dengan menaiki sebuah kenderaan berwarna hitam kerana dimaklumkan mempunyai urusan penting. 

Sementara itu, Azma Azifazilla dan Rizal ketika ditemui di luar mahkamah, memberitahu mereka berkahwin pada 28 September 2013 di Hulu Langat.

“Selepas empat bulan berkahwin baru masalah ini timbul, dan sekarang dia (Wan Amizan) mahu pisahkan kami pula. Ini tidak munasabah kerana Azma sudah jadi isteri saya," kata Rizal.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Anggota imigresen cedera dalam operasi 6P

Di Melaka Seorang anggota Imigresen Melaka cedera dalam kemalangan melibatkan van dan trak jabatan itu selepas selesai operasi bersepadu 6P di sekitar Melaka Tengah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi di kawasan perindustrian Krubong di sini, Siti Zaerah Sharif, 21, mengalami kecederaan ringan di hidung dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Melaka, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, ketika kejadian, anggota imigresen itu bersama tujuh anggota dan pegawai termasuk pemandu baru selesai melakukan operasi selama enam jam bermula 12 tengah malam tadi di empat tapak pembinaan di sekitar Melaka Tengah.
    
Beliau berkata, trak itu pula membawa sekumpulan rakyat asing yang ditahan dalam operasi berkenaan ke pejabat Imigresen Melaka di Ayer Keroh.  
    
"Van berkenaan mengekori trak itu sebelum melanggar trak yang masuk ke kanan jalan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
    
Beliau berkata, anggota dan pegawai lain serta rakyat asing yang ditahan tidak cedera. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>