Friday, 17 January 2014

Padi naik harga, beras akan menyusul?

Persatuan Pengilang Beras Cina-Melayu Kedah menyokong keputusan kerajaan menyeragamkan harga belian padi kepada RM1,200 satu tan metrik namun berharap mekanisme diguna pakai bagi menyeimbangkan harga beras dengan kenaikan itu dijelaskan.

Pengerusinya Datuk Chew Giok Kun turut menyarankan supaya subsidi beras import dihapuskan agar industri tanaman padi tempatan lebih berjaya dan operasi pengilang tidak terjejas.

Beliau berkata harga beras import yang sudah rendah tidak wajar diberikan subsidi dan sewajarnya subsidi tersebut disalurkan kepada industri beras tempatan. 

"Kami ahli persatuan tiada masalah membeli pada harga yang ditetapkan tetapi logiknya apabila harga padi dinaikkan, harga beras juga turut naik. Kita tidak boleh jual beras pada harga sebelum kenaikan harga padi.

"Sekiranya harga beras kekal pada harga lama, kami mahu kerajaan menampung perbezaan kenaikan tersebut," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas kenaikan harga padi  berkuat kuasa pada musim menuai akan datang. 

Keputusan penyeragaman harga itu diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kota Baharu, Kelantan semalam yang antaranya bertujuan menghapuskan peranan orang tengah kerana merugikan petani.

Chew berkata sebahagian subsidi beras import yang ditarik balik boleh digunakan bagi menambah pengeluaran beras ST15 untuk memenuhi permintan golongan sasar memandangkan pengeluarannya tidak mencukupi sejak diperkenalkan pada 2009. 

Persatuan Pengguna Kedah (Cake) yang turut menyokong keputusan itu mahu kerajaan memastikan pengilang tidak membuat potongan tidak munasabah.

Pengerusinya Datuk Yusoff Ismail berkata Cake menerima banyak aduan daripada petani yang tidak berpuas hati dengan pengilang swasta dan juga Bernas (Syarikat Beras Nasional) yang membuat potongan agak tinggi atas alasan padi tidak ada isi, tidak cukup masak dan basah sejak beberapa musim lepas.

"Cake memperjuangkan harga siling ini dinaikkan sejak empat tahun lepas.

Kita harap kenaikan ini mendorong petani bekerja lebih kuat meningkatkan produktiviti dan menghentikan tabiat mengambil pendahuluan daripada tauke-tauke kilang.

"Amalan mengambil wang pendahuluan ini bukannya rahsia. Amalan ini menyebabkan petani tidak dapat menjual hasil kepada pihak lain yang menawarkan harga lebih baik," katanya. 
Sumber : Bernama

Baca lagi >>

Unit Amal diberi kepercayaan kawal lalu lintas sempena Thaipusam

Pasukan Unit Amal Dewan Pemuda PAS mendapat pengiktirafan apabila diberi kepercayaan oleh pihak Polis untuk bertugas mengawal lalu lintas sempena Thaipusam esok.

Unit Amal Gombak diminta membantu pihak polis berkawal  di kawasan lampu isyarat Pinggiran Batu Caves.

Ia ekoran aduan orang ramai yang mendakwa berlaku kesesakan teruk di sepanjang jalan memalui Kg. Laksamana, Kg. Nakhoda dan Kg. Sg. Kertas apabila jalan utama ke Batu Caves telah ditutup untuk Thaipusam esok.

Unit Amal PAS, atau lebih terkenal dengan jolokan 'tentera merah' sebelum ini menjadi bualan rakyat negara ini ekoran kepantasan mereka menghulur bantuan kemanusian ketia banjir melandan beberapa negeri khususnya Pahang dan Terengganu Disember lalu.

Keikhlasan mereka dengan perinsip 'Beramal Kerana Allah" menjadikan pasukan sukarelawan PAS itu disegani kawan dan lawan.

Pasukan ini juga, sentiasa menjadi tulang belakang kepada kawalan keselamatan beberapa himpunan besar anjuran NGO dan Pakatan Rakyat.

Selain himpunan Bersih, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, terbaru pasukan ini juga menjadi barisan hadapan mengawal perarakan himpunan Turun pada malam sambutan tahun baru 31 Disember lalu.
Sumber : Harakah Daily

Baca lagi >>

Ikan paus yang masih hidup terdampar di Bintulu

Seekor ikan paus yang masih hidup ditemui terdampar di pantai Kuala Tatau awal pagi semalam oleh sebuah keluarga ketika mereka sedang berjalan-jalan di pantai berkenaan.

Rosmiros Mesral, 50, berkata beliau dan keluarganya mendapati ikan paus itu terdampar di tepi pantai dan tidak bergerak.

"Pada mulanya saya tak sangka objek besar itu ikan paus tetapi bila mendekati objek itu, saya dapati ia seekor ikan paus dan saya terus panggil suami serta anak-anak saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata ikan paus itu mula bergerak selepas anak lelakinya menyiram air di kepala mamalia berkenaan.

"Ekor ikan paus mula bergerak dan saya sekeluarga terkejut melihat di mata ikan paus itu ada air mata mengalir.

"Simpati dengan keadaan ikan paus itu, kami sekeluarga cuba menolaknya supaya dapat ke laut semula tetapi mengalami kesukaran, namun sekitar jam 11 pagi, ikan paus itu dapat ditolak ke laut semula," katanya.

Rosmiros menyifatkan kejadian itu sebagai ganjil kerana belum pernah ada kejadian ikan paus terdampar di pantai Kuala Tatau sebelum ini.

"Saya dilahirkan di Bintulu, dan ini kali pertama kejadian pelik ini berlaku, mungkin faktor cuaca dan keadaan laut menyebabkan ikan paus itu terdampar," katanya.

Berita penemuan ikan paus itu tersebar luas di media sosial sejak semalam sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk tempatan.

Antara lain, kebimbangan kemungkinan berlaku tsunami dan ada juga yang mengaitkannya dengan fenomena semasa musim tengkujuh.

Sumber : Bernama

Baca lagi >>