Wednesday, 15 January 2014

Rakam video suri rumah mandi tanpa pakaian

Seorang pegawai eksekutif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan merakam video seorang suri rumah yang sedang mandi tanpa berpakaian di sebuah kondominium, empat hari lalu.

Izwar Efendi Taswar, 32, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 20 dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik air di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, dekat sini, jam 11.52 pagi pada 11 Januari 2013.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping manakala tertuduh yang hadir memakai baju T merah dan berseluar pendek paras lutut tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Tan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa dan keluarganya serta pasport diserah kepada mahkamah.

Rakan tertuduh yang ingin menjamin mangsa bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan.

Majistret Saifulakmal Said kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan syarat tambahan oleh pihak pendakwaan.

Sebutan untuk melantik peguam ditetapkan pada 14 Februari ini.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Dekan UPM menang tuntutan di mahkamah Amerika Syarikat

SAN FRANCISCO, AMERIKA SYARIKAT. Dekan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rahinah Ibrahim berjaya mengenepikan larangan memasuki Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atasnya sejak 2005.

Dekan Fakulti Seni Bina UPM, Dr Rahinah Ibrahim.
Memetik laporan Reuters, polisi larangan masuk ke AS menetapkan mana-mana individu yang dipercayai mempunyai hubungan dengan pengganas dimasukkan dalam pangkalan data dan disekat daripada menggunakan kapal terbang komersial memasuki negara itu.
Bagaimanapun, pengkritik melihat keputusan itu adalah mustahil untuk mengeluarkan nama individu daripada senarai itu.

Hakim William Alsup semalam berpihak kepada Raninah yang mencabar polisi negara itu memutuskan bahawa prosedur sedia ada perlu diperbetulkan kerana senarai itu tidak memberikan perlindungan proses yang mencukupi.

Jurucakap Jabatan Keadilan AS, Wyn Hornbuckle berkata, kerajaan sedang menyemak perintah dan enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, peguam Rahinah, Elizabeth Pinpin, berkata: "Keadilan akhirnya berjaya ditegakkan untuk Rahinah. Seorang wanita yang tidak bersalah yang telah terjebak dalam sistem penyenaraian kerajaan yang tidak sempurna."

Rahinah dilaporkan telah berjuang selama lapan tahun untuk membersihkan namanya dalam pangkalan data itu selepas ditahan di lapangan terbang San Francisco 2005 lalu ketika dalam perjalanan dari Malaysia dan singgah di Hawaii.

Sementara itu, Associated Press (AP) melaporkan, Pipkin berkata, adalah hampir mustahil untuk membuang sebarang nama yang dimasukkan ke dalam data itu.

Rahinah turut memberitahu AP, namanya tersilap dimasukkan ke dalam pangkalan data itu kerana beliau berasal dari Malaysia dan beragama Islam.

Wanita berusia 48 tahun itu bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas ketika disoal siasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada 2004.

Sejak penahanannya pada 2005, beliau dihalang daripada memasuki AS termasuk untuk membuat kenyataan dalam perbicaraannya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

‘Syahid Yang Tertangguh’ antara penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul

Mendapat Anugerah Maulidur Rasul bukan sekadar kebanggaan biasa, sebaliknya penganugerahan itu menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih berbakti kepada ummah sejagat.

Nur Azlina Abdul Aziz, 52, ibu kepada penerima Anugerah Saidina Ali, Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam berbesar hati apabila kisah anaknya membuka mata anak-anak muda untuk berjuang di jalan Islam di samping mendekati kerja-kerja kemasyarakatan dan dakwah.

Allahyarham Ahmad Amar adalah individu yang aktif dalam kerja sukarelawan kepada masyarakat Rohingya,Klang, Sukarelawan Gobal Peace Mission (GPM) untuk program Ukhuwah Fil Amal Kemboja dan sukarelawan bantuan ke Syria.

Beliau yang merupakan Pelajar Universiti Marmara Turki memilik bakat luar biasa apabila menguasai karya Agung Ilmuan Bediuzzaman Said Nursi iaitu Risalah an-Nur dalam masa lapan bulan sahaja hingga mengejutkan warga Turki kerana karya itu mengambil masa yang lama untuk dikuasai.

Beliau yang menerima jolokan ‘Syahid Yang Tertangguh’ maut dalam kemalangan jalan raya ketika di dalam perjalanan di tempat mengajarnya.
Ahmad Amar menerima penghormatan untuk disemadikan di tanah perkuburan bersama Abu Ayub Al-Ansari dan para sahabat Nabi dan Auliya di Turki.

“Memang sejak kecil lagi arwah sudah melibatkan diri dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan atas minat beliau sendiri serta galakan daripada keluarga.

“Sebagai hamba Allah atas muka bumi ini, tanggungjawab kita bukan sekadar untuk kepentingan diri sendiri sahaja tetapi perlu juga melakukan sesuatu untuk kepentingan masyarakat,” kata Azlina.

Azlina yang hadir bersama anak perempuannya turut menerima wang tunai berjumlah RM 5,000 bagi pihak Allahyarham Ammar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor 1435 hijrah yang disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penerima Anugerah Umar Abdul Aziz, Datuk Dr. Yahya Baba 59, berkata sifat kepimpinan dan integriti tokoh-tokoh Islam sebelum ini terutamanya para sahabat nabi wajar dicontohi demi kesejahteraan seluruh masyarakat.

“Kepimpinan yang baik bukan sekadar dipraktikkan di tempat kerja tetapi ianya perlu juga dilaksanakan di dalam komuniti setempat.

“Ini penting bagi membolehkan komuniti terdekat dengan kita beroleh manfaat hasil daripada kepimpinan yang baik yang berpegang teguh pada ajaran Islam,” katanya yang menerima RM 15, 000 bagi anugerah yang diterima.

Turut menerima anugerah ialah Dr. Salasiah Hanin Hamjah yang menerima Anugerah Saidatina Khadijah beserta wang tunai berjumlah RM 10, 000.

Bagi Anugerah Khas pula, penerima, Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud serta Allahyarham Koperal Azrul Tukiran masing-masing menerima RM 10, 000 dan diwakili ahli keluarga masing-masing.

Setiap penerima turut diberikan piala iringan, sijil penghargaan dan juga sepersalinan pakaian.

Majlis yang diadakan di Stadium Melawati di sini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isterinya, Puan Sri Salbiah Tunut serta Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Marzuki Hussin.
Sumber : Selangor Kini

Baca lagi >>