Tuesday, 14 January 2014

'Sultan Melaka' ditahan polis

Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai `Sultan Melaka’ Noor Jan Tuah, 56, ditahan polis ketika cuba menaiki feri untuk ke Pulau Besar, pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menganjurkan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Raja Sharom Raja Abdullah berkata, tangkapan itu dibuat di Jeti Anjung Batu, Serkam, di sini, kira-kira jam 10.50 pagi tadi.

Beliau berkata, penahanan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, selepas pihak polis Melaka menerima lapan laporan dibuat individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Polis membuat tangkapan selepas menerima beberapa aduan daripada individu dan NGO yang tidak berpuas hati serta gusar atas tuntutan penama Noor Jan Tuah untuk mengiktiraf dirinya sebagai Sultan Melaka.

Penduduk Melaka berasa curiga mengenai kebenaran dakwaan itu terutama selepas penyebaran video di YouTube seolah-olah menghina kerajaan yang sedia wujud di Melaka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, semalam.

Ketika tangkapan dibuat, Noor Jan berada di Jeti Anjung Batu untuk menaiki feri ke Pulau Besar bagi menghadiri satu upacara perayaan dan penyembelihan kambing.

Noor Jan dilaporkan memberi kerjasama ketika tangkapan dibuat dan polis menasihatkan supaya pengikutnya tidak bimbang kerana lelaki itu selamat dan polis hanya melakukan proses siasatan.

Difahamkan, kira-kira 50 pengikut Noor Jan turut serta dalam perjalanan ke Pulau Besar dipercayai untuk menghadiri majlis itu bagaimanapun polis tidak menahan mana-mana pengikut terbabit.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menjelaskan Kerajaan Negeri Melaka menolak tuntutan Raja Noor Jan Shah untuk diiktiraf sebagai 'Sultan Melaka' dan menegaskan kerajaan negeri hanya mengiktiraf pingat, bintang dan darjah kebesaran diberikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.
Penahanan 'Sultan Melaka' ikut undang-undang

Penahanan Raja Noor Jan Shah Raja Tuah yang mendakwa dirinya 'Sultan Melaka’ di Jasin, Melaka hari ini adalah berdasarkan undang-undang negeri dan Perlembangaan Persekutuan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Berdasarkan Sejarah Melayu dan bahan kajian seperti Hikayat Hang Tuah, beliau berkata Sultan Melaka yang terakhir ialah Sultan Mahmud Shah (1488-1511) dan selepas itu tiada sultan di negeri itu.

Selain itu, beliau berkata apabila penubuhan Negeri-Negeri Selat yang terdiri daripada Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, dari segi Perlembangaan Negeri dan Perlembangaan Persekutuan tidak ada mana-mana individu yang boleh mendakwa atau menuntut tahkta kesultananan di negeri-negeri tersebut.

“Dalam hal ini, polis mengambil tindakan adalah berdasarkan pada perundangan yang ada pada kerajaan negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan juga Perlembangaan Persekutuan.

“Saya harap mana-mana individu dan kumpulan yang mahu menuntut tahkta Melaka harus melupakan hasrat itu. Lihat fakta, sejarah dan perundangan. Ini harus diakui sebagai hakikat dan kenyataan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pasukan Bola Sepak PDRM di sini hari ini.

Raja Noor Jan Shah ditahan pada 10.50 pagi bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung dakwaan telah mengadakan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pelajar asing yang mahu bekerja separuh masa di restoran makanan segera perlu memaklumkan kepada Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen.

“Sebagai amalan, mana-mana restoran makanan segera boleh mengambil pekerja separuh masa yang terdiri daripada pelajar-pelajar dalam negara dan kita tidak menghalang restoran berkenaan juga mengambil pelajar asing secara separuh masa,” katanya.

Mengenai Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan yang mendakwa ditumbuk oleh seorang lelaki berhubung soal pertukaran guru, di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Ahmad Zahid menyifatkan ia perbuatan yang amat memalukan.

“Kamalanathan sebagai timbalan menteri pendidikan yang mewakili institusi pendidikan negara ini harus dihormati. Lagipun, soal pertukaran guru merupakan soal peraturan yang sedia ada di Kementerian Pendidikan.

“Kamalanathan telah membuat laporan polis dan kita akan mengambil tindakan pada individu yang melakukan perbuatan itu,” katanya.
Sumber : Harian Metro, Bernama

Baca lagi >>

Dua warga emas maut dirempuh komuter

KAJANG: Cubaan sepasang suami isteri warga emas melintasi landasan Komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) membawa padah apabila kedua mereka maut selepas dirempuh komuter dalam kejadian di Jalan Reko, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.25 petang itu, pasangan terbabit dipercayai dalam perjalanan kembali rumah selepas membeli beberapa barangan dapur di kedai runcit bersebelahan landasan berkenaan.

Mangsa, Md Nor Lian, 69, yang tidak bekerja bersama isterinya Noriah Mat Ani, 65, maut selepas mengalami kecederaan parah akibat dirempuh komuter terbabit.

Kedua mayat mangsa ditemui kira-kira lima meter berhampiran longkang di tepi landasan berkenaan dipercayai tercampak akibat impak perlanggaran terbabit.

Difahamkan pemandu komuter terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang selepas insiden berkenaan.

Sementara itu, ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Sumber : Harian Metro

Baca lagi >>

Kenaikan Gaji Exco Selangor tidak dibeku tetapi dipotong

Pimpinan tertinggi Selangor tetap akan menikmati kenaikan gaji seperti yang diputuskan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) November lalu, bagaimanapun pendapatan berkenaan dipotong untuk tujuan suntikan ke dalam tabung negeri bagi program kebajikan rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad memaklumkan, gaji menteri besar, speaker, timbalan speaker dan Exco kekal naik sebagaimana dipersetujui sebulat suara Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) Pindaan 2013, namun dipotong bukannya dibekukan seperti dilaporkan.

“Kenaikan gaji masih kekal seperti yang diluluskan Dun bagaimanapun dipotong untuk dimasukkan ke tabung negeri bagi melaksanakan program kebajikan demi kesejahteraan rakyat Selangor.

“Peratusan pemotongan untuk setiap jawatan berkenaan adalah berbeza-beza,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, pertambahan gaji kekal seperti diluluskan Dun sebelum ini oleh sebab ia tidak mudah dipinda.

“Kalau nak ubah gaji kena pinda dalam Dun, ia terlalu rumit. Oleh yang demikian, dimuktamadkan sebulat suara gaji menteri besar, speaker, timbalan speaker dan Exco dipotong untuk disalurkan ke tabung negeri untuk tujuan kebajikan,” katanya.

Iskandar yang juga Adun Cempaka berkata, tindakan kerajaan Selangor melaksanakan pemotongan gaji baharu yang dinaikkan berkuat kuasa 1 Januari ialah berlandaskan dasar prihatin dan empati dengan nasib rakyat yang dihimpit bebanan kos sara hidup mendadak.

“Inisiatif kerajaan negeri ini hasil sepakat semua ahli dewan bagaimanapun, kenaikan gaji Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250 tidak akan dipotong,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, memaklumkan cadangan kenaikan itu dibuat berdasarkan beban tugas yang dipikul ahli dewan tanpa mengira waktu serta keberkesanan pembaharuan dilaksanakan badan eksekutif dan legislatif.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan atas dasar keberkesanan melaksanakan tanggungjawab iaitu menunjukkan hasil dan pendapatan negeri meningkat, pertimbangan sewajarnya diambil atas permintaan kesemua Adun.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi membetulkan kenyataannya dalam laporan kelmarin bahawa gaji gaji menteri besar, speaker, timbalan speaker dan Exco dipotong bukannya dibekukan seperti dimaklumkan.

“Gaji bukan dibekukan sebaliknya dipotong. Bagaimanapun, tunggu pengumuman menteri besar berhubung peratusan dan terma serta syarat pemotongan,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>