Monday, 13 January 2014

Gambar anggota polis mabuk tepi jalan bukan situasi sebenar?

Gempar apabila di laman-laman media sosial tersebar gambar dua anggota polis peronda yang dipercayai mabuk dirakam tertidur dalam kereta peronda yang diberhentikan di bahu jalan.

Empat keping gambar yang disebarkan itu menunjukkan dua orang dalam pakaian seragam polis sedang nyenyak, dengan seorang daripadanya memegang tin minuman keras.

Dalam kereta polis itu juga kelihatan senjata api yang diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kenderaan tersebut.

Selain itu, sumber turut memuatkan gambar nombor pendaftaran kenderaan polis tersebut.
Namun seorang pengguna Facebook, Nordin Mansor yang memberi komen di laman Facebook Suara Rakyat mengatakan gambar itu bukanlah situasi sebenar dan turut menafikan anggota polis dalam gambar tersebut benar-benar mabuk.

Nordin yang juga dipercayai seorang anggota polis menjelaskan bahawa situasi berkenaan adalah latihan bagi menggambarkan kesalahan dalam waktu kerja.

Tiada kompromi terhadap anggota bertugas di bawah pengaruh alkohol

Ekoran penyebaran gambar dua anggota polis yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa menjalankan tugas rondaan, kedua-dua identiti anggota tersebut telah dikenal pasti .

Kedua-dua anggota terbabit telah ditukarkan serta merta tempat penugasan dan siasatan lanjut berkaitan insiden itu sedang dijalankan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius terhadap kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana anggota yang didapati mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat.

PDRM juga tidak akan melindungi dan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang telah melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya mendapati mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan tidak berintegriti.

Baca lagi >>

MU akhirnya menang selepas 3 kekalahan berturut-turut

MANCHESTER United menjelmakan kembali sentuhan kemenangan selepas menderita akibat tiga kekalahan berturut-turut dengan kemenangan 2-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Swansea City awal pagi semalam sekali gus menebus kekecewaan ketika tumpas dalam saingan Piala FA minggu lalu.

Lega...Reaksi Antoni Valencia (tiga kanan) selepas meletakkan United di depan pada minit ke-47.
Rentak United tidak terjejas meskipun turun tanpa Wayne Rooney dan Robin van Persie apabila Antonio Valencia dan Danny Welbeck mengambil alih selaku penjaring.

Kemenangan itu menyaksikan United mengumpul 37 mata hasil 21 perlawanan untuk berada di tangga ketujuh liga.

Keputusan itu sememangnya memberi nafas lega kepada Moyes yang tertekan selepas permulaan hambar pada awal tahun termasuk kekalahan di tangan Tottenham Hotspur di Old Trafford, diikuti kekalahan kepada Swansea pada saingan Piala FA dan kemudiannya kecundang kepada Sunderland pada peringkat pertama separuh akhir Piala Liga.

“Satu keputusan baik. Apa pun, saya harap kami akan menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang. 

"Dan peningkatan ini harus dikekalkan bagi membuktikan bisa United masih belum hilang," katanya.

Selain itu, Moyes juga menepis khabar angin mendakwa van Persie direhatkan enam minggu susulan kecederaan.

“Saya tak tahu dari mana timbul khabar angin itu. Setahu saya, itu dakwaan yang salah," katanya.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Kagum dedikasi anggota bomba dalam operasi menyelamat pesawat terhempas

“Kita terpaksa menaiki bot, meredah hutan dalam suasana gelap dan mendaki dua bukit dengan kecerunan lebih kurang 45 darjah untuk tiba ke lokasi sebuah pesawat Cessna 172 yang terhempas di Empangan Batu, Ulu Yam dan menyelamatkan  tiga individu yang menaiki pesawat itu".

Demikian yang dikongsikan oleh Penguasa Bomba, Abdul Manaf Che Isa ketika menceritakan semula cabaran operasi menyelamat mangsa yang terlibat dengan kejadian itu.

Wan Mohd Nor melawat dan berbual-bual dengan Saiful Farid Amri di wad Hospital Selayang, semalam.
Operasi menyelamat kira-kira jam 9.30 malam ekoran laporan kehilangan sebuah pesawat ringan selepas lebih setengah jam berlepas dari pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.

Dalam kejadian itu, pesawat yang dinaiki Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 22; Syed Haidhar, 25, dan Shaiful Zafiq Razali, 24, dilaporkan hilang di sekitar Batu Caves kira-kira 5 petang Jumaat.

Abdul Manaf berkata, pihaknya mendapati mangsa berjaya keluar daripada pesawat itu dan berjalan sejauh 100 meter.

“Kita berjaya menjumpai kesemua mangsa kira-kira jam 3.45 pagi, apabila terlihat unggun api yang dipasang oleh mangsa. Keadaan kesemua mangsa pada ketika itu agak keletihan, kesejukan dan menahan kesakitan.

“Anggota paramedik segera menjalankan tugas untuk memastikan keadaan mereka tidak bertambah parah,” katanya.

Beliau berkata, keadaan pesawat yang dinaiki oleh kesemua mangsa  begitu kritikal. Mujur kesemua mereka terselamat dan masih sedar ketika ditemui.

“Kita mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa dari lokasi kejadian, dua daripada mereka terpaksa diusung, manakala salah seorang daripada mereka pula dipapah, sebelum menaiki bot penyelamat dan dihantar ke Hospital Selayang dengan ambulan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim bangga dengan  anggotanya yang dedikasi dan sentiasa berusaha menyelamatkan mangsa.

“Mereka guna pengalaman dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tersebut, kita perlu bertindak pantas untuk mencari dan memberi rawatan kepada mangsa yang terselamat,” katanya ketika melawat mangsa yang terlibat dengan insiden itu di Hospital Selayang, semalam.

Menurutnya, keadaan kesemua mangsa stabil dan mampu berkomunikasi, namun masih perlu menjalani rawatan.

Salah seorang mangsa, Saiful Farid Amri berkata, kejadian yang menimpanya itu tidak akan mematahkan semangat untuk dia menjadi juruterbang.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>