Thursday, 9 January 2014

Bilik Tun Dr Mahathir tidak dikosongkan di Menara Berkembar Petronas

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menyangkal dakwaan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bahawa ia mengambil tindakan mengosongkan pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan pengumuman hasrat beliau untuk meletak jawatan sebagai penasihat.  

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata sepanjang pengetahuan syarikat itu, Dr Mahathir masih merupakan penasihat Petronas dan mengekalkan pejabatnya di Menara Berkembar Petronas.    
   
"Petronas amat menghormati dan memandang tinggi Dr Mahathir atas sumbangannya bukan hanya kepada syarikat ini tetapi kepada negara," katanya.
   
Syarikat minyak negara itu menjawab laporan sebelum ini oleh MTEM, yang berkata ia diberitahu oleh sumber yang boleh dipercayai dari Petronas dan dari pejabat Dr Mahathir bahawa Petronas telah memalukan bekas perdana menteri itu dengan mengosongkan dan mengunci pejabat beliau di KLCC dalam tempoh 24 jam selepas beliau mengumumkan hasratnya untuk meletak jawatan sebagai penasihat.
   
"Petronas dengan tegas mengecam kenyataan berniat jahat MTEM yang membuat dakwaan palsu atas sebab-sebab yang boleh dipersoalkan.
   
"Keputusan mengenai hal yang berkaitan dengan pelantikan atau peletakan jawatan penasihat Petronas adalah prerogatif Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan di luar bidang kuasa Petronas," kata kenyataan itu.
Sumber : Sinar Harian

Baca lagi >>

Kemelut industri air Selangor bakal berakhir

Kemelut pengambilalihan industri air di Selangor bakal berakhir apabila Kerajaan Pusat bersetuju memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Negeri dengan mengguna pakai Seksyen 114, Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) bersama syarat lain.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pertemuannya bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus semalam, bersetuju dengan tertakluk kepada beberapa syarat iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik dua orang Pentadbir syarikat konsesi air bagi menjalankan pengurusan air.

Katanya, dua Pentadbir yang dilantik adalah Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Suhaimi Kamaralzaman yang merupakan seorang akauntan bertauliah serta mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan industri air di Malaysia.
Manakala, calon Pentadbir kedua adalah Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI), Faekah Husin yang merupakan peguam terlatih selama 20 tahun dan mahir dalam pentadbiran dan pengurusan hartanah.

Abdul Khalid berkata, syarat yang dikenakan itu perlu kerana Selangor memiliki banyak aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur.

Katanya, Kerajaan Negeri bersetuju pada dasarnya bagi pelaksanaan pembinaan Loji Air Langat Dua dan kedua-dua Pentadbir dipertanggungjawabkan untuk merealisasikannya.

“Perkara yang disebut di sini telah pun diperincikan kepada Menteri secara rasmi melalui surat yang saya hantar pagi ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri memberikan sepenuh komitmen sejak 2009, dengan mengadakan perbincangan berterusan bersama KeTTHA serta agensi berkaitan seperti SPAN dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menawarkan RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium ABBAS Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd, untuk mengambil ekuiti syarikat konsesi air berkenaan.

Walau bagaimanapun, perbincangan atas dasar ‘willing buyer willing seller’ seperti yang ditetapkan KeTTHA gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan iaitu pada 31 Disember 2013.

Abdul Khalid berkata, punca utama kegagalan penyelesaian itu adalah akibat jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham yang berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor.

“Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh melakukan penyusunan semula industri perkhidmatan air kerana syarikat konsesi berkenaan gagal memberikan perkhidmatan yang baik dengan tarif berpatutan walaupun mengaut keuntungan tinggi,” kata Abdul Khalid.
Sumber : Selangor Kini

Baca lagi >>