Tuesday, 16 December 2014

Tidak menghormati alam sekitar punca banjir lumpur di Cameron Highlands

Tragedi banjir lumpur dan tanah runtuh di Cameron Highlands adalah tindak balas alam terhadap kerakusan manusia demi keuntungan dan akibat korupsi dalam meneroka tanah secara haram.

Kawasan bukit di banjaran Titiwangsa Semenanjung seluas 71,218 hektar persegi, yang dibuka sejak zaman kolonial British untuk perladangan teh, kini menjadi pusat penanaman sayuran dan tumpuan pelancong.

Foto Internet
Akibat penerokaan tidak terkawal untuk kawasan tanaman sayur-sayuran, penggunaan buruh asing diperlukan di situ, sekaligus Cameron Highlands diselubungi dua isu utama iaitu pendatang haram dan penerokaan tanah haram.

Kealpaan sekian lama itu membawa kepada kemurkaan alam, yang menyebabkan banjir berlumpur dan tanah runtuh sehingga meragut lima nyawa dan berpuluh keluarga kehilangan tempat tinggal di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam, 5 November lepas.

Kesengsaraan rakyat dalam tragedi itu dirasai Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang murka dan rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di daerah itu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mendedahkan kejadian banjir lumpur yang melanda Lembah Bertam dan Ringlet di Cameron Highlands, berpunca daripada tindakan tidak menghormati alam sekitar dengan membuat penerokaan secara berleluasa.

Pada masa sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan mesyuarat mengenai masalah alam sekitar di situ bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu ditangani untuk mengelak kejadian sedemikian berulang.

Susulan itu, kerajaan pusat terpaksa campur tangan, menggempur Cameron Highlands dengan menjalankan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi menahan pendatang asing yang bekerja secara haram di sana.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula menubuhkan satu pasukan petugas bagi mengekang jenayah rasuah di sebalik penerokaan haram itu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 November lepas menggariskan pelan tindakan bagi mengembalikan semula Cameron Highlands sebagai pusat peranginan utama di negara ini.

Timbalan perdana menteri menggariskan pelan jangka pendek dan panjang, iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa diminta meneliti semula Pelan Tempatan yang diluluskan sebelum ini supaya ia diperbaiki dan disesuaikan dengan keadaan semasa; dan bagi aktiviti pertanian, kawasan tanaman baharu tidak perlu lagi diwujudkan kerana tanah yang diteroka telah mencapai 8,600 hektar.

Banjir adalah antara amarah alam, yang menyaksikan tiga perempat daripada bandar Kajang ditenggelami air lagi sedalam 1.5 meter pada 12 November, yang kedua selepas September.

Dua kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada masalah sistem pembetungan lama dan pembangunan tidak terancang.

Negara juga berhadapan dengan musim kemarau dan kedatangan fenomena cuaca panas melampau, El-nino serta jerebu yang bermula pada Jun sehingga Oktober lepas.

Ekoran itu, krisis air di Selangor menjadi teruk sehingga April membabitkann 758,976 rumah mengalami masalah bekalan air sehingga bekalan terpaksa dicatu di Gombak, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Shah Alam dan Hulu Langat yang berlarutan.

Bernama