Wednesday, 17 December 2014

Terkejut rumah PPRT tiada bekalan elektrik, air!

Penerima bantuan rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di tapak perumahan PPRT Seri Buntar gelisah memikirkan kaedah untuk memasukkan kemudahan elektrik dan air di kediaman mereka.

Seorang penduduk, Mohd Shukri Awang, 45 berkata, setelah hampir 17 tahun menumpang di rumah keluarga dan menyewa di kawasan sekitar Tring, akhirnya impian untuk memiliki rumah sendiri tercapai.

Gambar internet
Namun menurutnya, dia masih belum boleh menduduki kediaman itu berikutan tiada kemudahan bekalan elektrik dan air.

“Apabila dimaklumkan saya antara penerima rumah berkenaan, memang saya bersyukur dan gembira kerana tidak lagi perlu memikirkan untuk membayar sewa bulanan.

“Tetapi apabila dinyatakan deposit dan kemasukan kemudahan itu perlu ditanggung pemilik rumah, saya terkedu seketika kerana sekurang-kurangnya saya kena menyediakan lebih RM700 untuk tujuan itu,” katanya.

Difahamkan, pembinaan rumah PPKB bernilai RM40,000 setiap rumah di kawasan terbabit tidak termasuk kos kemasukan kemudahan elektrik dan air sebaliknya perlu ditanggung sepenuhnya oleh pemilik.

Mohd Shukri berkata, baginya yang hanya melakukan kerja sendiri, sememangnya sukar untuk mengumpul wang sebanyak itu.

Bagi Rosli Abu Bakar, 47 pula, dia terkejut apabila dimaklumkan masalah itu kerana selalunya bantuan rumah seperti itu dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air.

Katanya, ada penerima di kawasan lain, menerima rumah yang lengkap dengan kedua-dua kemudahan itu dan sudah boleh diduduki.

“Saya dimaklumkan, kesemua lima rumah PPKB di sini menghadapi masalah yang sama dan difahamkan, kos untuk pemasangan paip ke kawasan itu membabitkan jumlah sehingga RM15,000.

“Kalau dikumpulkan semua penerima sekali pun, kami belum tentu mampu menyediakan kos sebanyak itu dan hasrat kami untuk berpindah ke rumah baharu akan terbantut,” katanya.

Sinar Harian