Wednesday, 17 December 2014

Tambang bas sekolah naik lagi tahun depan

Tambang baharu bas sekolah akan dikenakan menjelang Januari 2015 dan jumlah kenaikan akan dibuat oleh pengusaha bas sekolah secara individu.

Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, pengiraan tambang baharu itu akan dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang dibuat pada tahun 2009.


"Kami terpaksa menerima regulasi yang ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),tetapi SPAD tidak ada garis panduan untuk tetapkan tambang bas sekolah,  maka kita akan guna pakai panduan yang pernah dibuat LPKP 2009.

"Kadar itu akan ditetapkan secara individu oleh pengusaha sendiri disamping mengambil kira Seksyen 4 Akta Persaingan, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)," katanya pada sidang media selepas mengendalikan Mesyuarat Tahunan kali ke-42 semalam.

Amali menegaskan  pihak persatuan tidak akan campur tangan berapakah jumlah kenaikan yang akan dikenakan itu nanti.

"Persatuan tiada kuasa untuk tetapkan berapa peratus kenaikan itu kerana ia tertaluk dibawah Akta Persaingan.

"Namun apa yang boleh kita tegaskan berdasarkan keadaan semasa kadar tambang bas sekolah akan naik tahun depan," katanya.

Beliau berkata, peningkatan itu bukan tujuan untuk menekan ibu bapa tetapi keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pengurangan subsidi diesel yang dibuat kerajaan terhadap pengusaha perkhidmatan bas sekolah.

Menurutnya lagi, peningkatan itu juga berdasarkan kenaikan harga bagi kos penyelenggaraan bas dan belanja pengurusan yang lain.

"Namun paling terkesan adalah pengurang subsidi diesel kerana kos itu melibatkan 40 peratus daripada keseluruhan kos perkhidmatan ini," katanya.

Jelas beliau, tindakan SPAD untuk tidak meletakkan siling harga bagi tambang bas sekolah juga menyukarkan pihak mereka menetapkan tambang baharu itu.

Sinar Harian