Saturday, 6 December 2014

Sumpahan ibu yang dimakbulkan

Mungkin kisah yang saya ceritakan ini boleh menjadi teladan kita.

Seorang ibu tua yang baru selesai solat subuh, singgah berbual dengan saya di pejabat perniagaan saya suatu pagi (pejabat saya tepi masjid).

Saya bertaya tentang anaknya yang sebaya saya. Dia langsung berubah wajah.

Katanya, "Saya dah tak tau dia nak jadi apa. Cakap ibubapa langsung tak dipeduli. Agama tak dipeduli. Hidup tak tentu arah. Kerja tak ada. Sampai ke tua menongkol dengan mak bapa."

Dia berhenti seketika,  mengesat airmata dengan hujung kain telekong yang masih dipakai. 

Dengan suara separuh sebak,  dia menyambung,  "Saya tahu Tuhan memakbul doa saya."

Saya jadi keliru,  lalu bertanya, "Doa apa?"
Katanya, "Satu hari dalam satu kuliah subuh saya dengar seorang ustaz berkata,  kata-kata ibubapa,  sumpah seranahnya,  caci makinya,  kepada anaknya ketika marah, dibimbangi menjadi doa yang dimakbul Tuhan. 

Itulah yang berlaku pada anak saya mungkin. Dulu ketika dia muda saya selalu marah dengan makian anak tak beguna, hidup menyusah mak mak bapa dan macam-macam lagi.Tuhan makbulkan, anak saya betul menjadi orang tak berguna dan menyusahkan hidup kami."

Katanya terhenti dengan esakan. Dia benar-benar insaf dan menyesal. Ya Allah! Ampunilah dia.

Sifat marah adalah sifat dijadikan Tuhan tetapi marah yang terkawal. Sifat ini kerapkali dicelahi oleh syaitan yang menjadikan marah yang melampau hingga mengeluarkan perkataan yang buruk bila perasaan tidak terkawal.

Jika anda seorang ibu atau bapa, ambillah iktibar, jika memarahi anak, jangan menyumpah seranah, maki hamun tetapi katalah dengan perkataan yang baik dan tegas.

Ingatlah setiap perkataan ibubapa adalah doa kepada anaknya, siapa tahu waktu itu Tuhan mengangkatnya. Ingat juga ada ketika doa sangat makbul seperti hari hujan, satu detik pada hari Jumaat, ketika selesai solat dan lain-lain.

Dari menyumpah seranah, melepas geram dengan perkataan babi anak haram, celaka, pellaq, anak tak guna dan lain-lain lebih baik pukul mereka dengan rotan atau dengan tangan pada bahagian yang sesuai.

Bila marah kurangkan berkata kerana iblis berdiri di lidah kita, tetapi beri hukuman, amaran, atau tunjuk teladan. 
Emak saya dulu pernah buat pada kami anak anaknya, dia tak berkata apa walaupun dia marah tetapi dia menangis di hadapan kami bersunguh-sungguh, dan itu sungguh berkesan serta mendetik keinsafan hingga kini. 

Melihat ibu menangis adalah satu senjata cukup tajam menikam setiap hati anak anak yang jauh lebih berbisa dari seribu kata. Cubalah.

Dari marah yang berterusan, beralihlah kepada memberi nasihat. Kadang kita mengulang kata-kata yang sama bila marah. Cuba ubah kepada perkataan lebih baik. 

Lagi pun perkataan yang buruk yang dikeluar ketika marah menjatuhkan martabat ibubapa, dibimbangi juga anak-anak menirunya ketika mereka marah orang lain atau anak mereka semdiri suatu masa nanti.

Pesan nabi, jika marah ambillah wuduk, jika dalam keadaan berdiri, duduklah. Ingat kepada Allah dan berselawatlah untuk menurunkan suhu dan memadam api kemarahan yang dinyalakan oleh syaitan.

Akhirnya, menoleh kebelakang, pernahkah anda menyumpah seranah dan maki hamun anak?

Bertaubatlah dan mohon ampun sebelum Tuhan benar-benar memakbulkannya seperti dalam kisah di atas. 

Kepada yang belum ada anak, saya memperingatkan.

Dikisahkan oleh Cikgu Abd Ghani Haron