Sunday, 14 December 2014

Simpati! Dia datang melancong tapi kena tipu pula dengan orang tempatan

Hajat seorang pelancong warga Korea Selatan menikmati percutiannya di negara ini selama seminggu tidak kesampaian apabila dia didakwa ditipu dua individu ketika tiba di Pulau Pinang, 2 Disember, lalu.

Lebih teruk Lee Joosun, 29 tahun, ditinggalkan sehelai sepinggang di Melaka dan semua barang berharganya dilarikan dua individu terbabit termasuk seorang wanita.


Menurut Joosun, kejadian berlaku sebaik dia tiba di Pulau Pinang pada 2 Disember.

Sebelum itu dia tiba di Kuala Lumpur pada 30 November dari Singapura.

Sebaik tiba di perhentian bas di Pulau Pinang, Joosun pada mulanya bertanya arah ke Georgetown daripada dua individu.

Dua individu itu terus menawarkan perkhidmatan melancong ke sekitar negeri bersama mereka.

Mereka kemudiannya bermalam di sebuah hotel. Joosun bagaimanapun dikehendaki membayar segala perbelanjaan termasuk penginapan dua individu itu.

“Dua individu itu kemudian menawarkan trip Cameron Highlands sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Permintaan saya untuk bertemu rakan tidak ditunaikan kerana mereka perlu ke Melaka dengan alasan untuk berjumpa ibu mereka.

“Saya tiada pilihan selain mengikuti mereka. Sekali lagi saya diminta membayar segala perbelanjaan termasuk tol dan bahan api,” katanya.

Menurut Joosun yang pernah berkhidmat sebagai pegawai Teknologi Maklumat berkata, ketika di Melaka, pasangan itu memintanya membeli barang sebelum melarikan diri.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sepanjang bersama individu itu, Joosun membelanjakan sebanyak RM450.

“Semua barangan berharga termasuk komputer bimbit, kamera dan wang tunai berjumlah AS$800 (RM2,793) lesap.

Kerugian dianggarkan lebih RM5,000.

“Berbekalkan wang yang ada, Joosun kemudiannya menaiki bas ke Kuala Lumpur dan menghubungi rakannya sebelum membuat laporan polis pada 6 Disember, lalu.

“Beliau juga terpaksa membatalkan percutiannya ke Vietnam, Laos dan Thailand ekoran kejadian tersebut.

Joosun dijangka pulang ke Korea Selatan minggu depan,” katanya.

Sinar Harian