Sunday, 21 December 2014

Seorang maut, 10 parah dalam nahas di Kuala Lipis

Kemalangan melibatkan dua kereta di kilometer (KM) 14 jalan Lipis-Merapoh kira-kira jam 5.15 petang kelmarin, mengakibatkan seorang terbunuh sementara 10 lagi cedera parah.

Dalam kejadian berhampiran simpang Kampung Gua di sini, kereta Proton Iswara dipandu Mohd Sofian Mat Daud, 37, dari arah Merapoh ke Lipis dipercayai dilanggar secara berhadapan oleh kereta Perodua Myvi yang dipandu Tuan Mohd Khuzaie Tuan Rosli, 22, dari arah bertentangan.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata, Perodua Myvi dipandu Tuan Mohd Khuzaie bersama empat ahli keluarganya dipercayai terlanggar lopak air sebelum hilang kawalan lalu masuk ke laluan sebelah kanan.

“Dalam masa sama, Mohd Sofian yang memandu Proton Iswara membawa lima ahli keluarganya dari arah Merapoh menuju ke Lipis gagal mengelak lalu bertembung dengan kereta Perodua Myvi berkenaan.

“Mohd Sofian parah di bahagian kepala dan cedera mengalami dalaman. Dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.35 malam ketika menerima rawatan di Hospital Lipis,” katanya sambil memberitahu anak bongsu mangsa, Puteri Batrisya Aulina, 3, yang turut parah dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk rawatan lanjut.

Sementara itu Abdul Razak berkata,  isteri Allahyarham, Hasmi Adam, 38; anak perempuan mereka, Puteri Balqis, 12; bapa mertua, Adam Awang, 89; dan biras, Yusof Bakar, 51, yang juga cedera sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Menurutnya, turut menerima rawatan di hospital sama ialah bapa kepada pemandu kereta Perodua Myvi, Tuan Rosli Tuan Abdullah, 48; ibunya, Sarimah Halim, 43; dan dua adiknya, Tuan Narisah, 15; serta Tuan Abdul Muhaimi, 9.

“Kejadian dipercayai berpunca kecuaian sikap pemandu yang tidak mematuhi had kelajuan lebih-lebih lagi struktur permukaan jalan basah dan licin akibat hujan,” katanya.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-3122222 atau tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian