Monday, 1 December 2014

Senarai Pemain Bola Sepak Kelantan 2015

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyenaraikan lapan muka baharu termasuk empat pemain import untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.


Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemain berkenaan adalah bekas penyerang Terengganu, Mohd Norfarhan Mohamad, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Noor Hazrul  Mustapha dari Perak serta pemain Harimau Muda A iaitu Mohd Ferris Danial Mat Nasir.

Sementara itu, empat pemain import terdiri daripada pemain Montenegro, Stefan Nikolic; dua bekas pemain kelab Persebaya Surabaya, Indonesia, Emmanuel Kenmogne dan Isaac Pupo serta pemain kelahiran Australia, Jonathan McKain.

Kredit Gambar:  FB Selamanya TRWFC
Beliau berkata, kehadiran pemain ini dapat memperkuatkan lagi pasukan Kelantan setelah bergelut dengan prestasi kurang memberangsangkan musim ini.

"Kita mempertaruhkan keyakinan tinggi dengan barisan pemain pada musim ini dan kita yakin jurulatih (George Boateng) mempunyai lebih banyak pilihan dalam kesebelasan utama," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan pemain 'The Red Warriors (TRW) 2015' dan penyerahan bas Kafa di Kota Bharu, hari ini.

"Pelbagai usaha dibuat untuk memantapkan lagi pasukan dan kita ingin jadi pasukan yang berada di kelompok teratas," katanya.

Annuar  berkata pihaknya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya berjaya merangkul sebuah piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Dalam saingan liga kita sasar untuk berada dalam kelompok empat terbaik manakala  dalam saingan Piala FA atau Piala Malaysia kita harap dapat menjuarainya.

"Kita harap pemain dapat tunjukkan komitmen yang tinggi dan naikkan mutu permainan setanding dengan usaha yang dibuat oleh pengurusan," katanya.

Beliau berkata saingan Liga Malaysia musim depan dijangka sengit namun peluang untuk menjadi juara masih terbuka. 

Sumber: Bernama