Saturday, 13 December 2014

'Second Honeymoon' hangatkan hubungan cinta suami isteri

Program Second Honeymoon atau Program Bulan Madu Kali Kedua yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya menyelamatkan hampir 98 peratus rumah tangga pasangan yang menyertai program itu.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, daripada 772 pasangan yang menyertai program itu, hanya lapan pasangan yang tetap meneruskan hasrat mereka untuk berpisah.

“Ini menunjukkan program Second Honeymoon yang kita perkenalkan sejak 2010 ini menunjukkan hasil setelah hanya 1.2 peratus sahaja daripada jumlah pasangan yang menyertai program ini tetap meneruskan hasrat mereka untuk berpisah.

“Program ini sebenarnya khas untuk pasangan yang telah lama berkahwin dan bermasalah. Jadi, bagi memastikan keharmonian rumah tangga mereka, kita bawa mereka menyertai program ini bagi memantapkan institusi kekeluargaan, seterusnya memulihkan hubungan suami isteri,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2015 pada Sidang Dun, di Wisma Darul Iman, semalam.

Tambahnya lagi, pasangan yang dipilih kebanyakannya dalam kalangan mereka yang mengalami masalah rumah tangga dan ada antaranya yang kritikal sehingga sampai kepada proses permohonan penceraian di mahkamah syariah.

“Kita dapat data, angka dan peserta dari Pejabat Agama di negeri ini. Ada dalam kalangan mereka yang mengemukakan permohonan untuk tinggal berasingan.

“Jadi, kita cari pasangan ini untuk masukkan mereka dalam program ini.

Dengan beberapa modul santai sepanjang tiga hari dua malam itu, harapan kita hubungan mereka kembali bertaut, seterusnya mengukuhkan institusi kekeluargaan," katanya.

Menurut Pehimi, Terengganu satu-satunya negeri yang mempunyai program seperti itu, di mana kajian mendapati keruntuhan institusi kekeluargaan juga adalah antara faktor masalah sosial dalam kalangan generasi muda.

“Alhamdulillah, nampaknya program ini sudah menunjukkan hasil yang sangat positif dan YPKT sentiasa memantau perkembangan semua peserta selepas program agar mereka tidak lagi mengulangi perkara sama,” katanya.

Sinar Harian