Thursday, 25 December 2014

Pusat pemindahan SMK Keroh catu bekalan makanan

KUALA KRAI - Memandangkan risiko terputusnya bekalan makanan mungkin terjadi kerana jalan-jalan utama dinaiki air, pihak pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Keroh mengambil keputusan untuk mencatu bekalan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung Keroh Mat Taib Mohamad, 72, berkata walaupun bekalan makanan buat masa kini masih mencukupi, keputusan itu terpaksa diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana jumlah mangsa dijangka bertambah.

Orang ramai tidak dapat meneruskan perjalanan akibat limpahan air Sungai Nal di Jalan Gua Musang-Kota Baharu di Kampung Keroh dekat Kuala Krai hari ini.
"Makanan itu ada, tapi untuk jangka masa panjang, kita terpaksa berjaga-jaga. Sebab setakat ini bekalan kami biasanya dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jajahan Kuala Krai, tapi sekarang jalan ke sana pun dah putus.

"Dan setakat ini, jumlah mangsa pun dah makin bertambah sebab ada kawasan-kawasan yang sebelum ini tak pernah dinaiki air, kali ini jadi pula. Banjir kali ini memang luar biasa," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Mat Taib berkata pihak jawatankuasa akan memberi kupon kepada keluarga terbabit mengikut data mangsa banjir yang telah direkodkan.   

Mat Taib berkata pada kupon itu akan dicatatkan jumlah anggota keluarga mangsa supaya bekalan makanan seperti nasi bungkus dapat diedarkan mengikut bilangan yang ditetapkan.

Seorang suri rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Wan, 30, memberitahu bahawa kumpulan wanita menjalankan tugas memasak dan mengedar makanan dibahagi kepada tiga iaitu untuk sesi pagi, tengah hari dan petang.

"Kami ikut tiga syif, supaya dapat jimat masa dan tenaga. Sebab kerja memasak untuk lebih 100 keluarga ini memang letih. Tapi kami anggap ini tugas yang tuhan dah amanahkan.

"Buat masa ini, kami hanya masak nasi dalam empat atau lima periuk dan menu pagi ialah nasi goreng, tengah hari nasi putih serta ayam goreng dan malam baru kami masak sardin dan telur. Ini bergantung kepada bekalan yang ada," katanya.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, jumlah mangsa banjir di Jajahan Kuala Krai hari ini mencecah 4,864 orang yang kini sedang mendapatkan perlindungan di 39 PPS.   

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Kuala Krai Zulbahri Ibrahim berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk mengedar bekalan di beberapa PPS yang terputus hubungan akibat jalan dinaiki air. 

Walaupun banjir kali ini sangat mencabar, beliau berkata pihaknya cuba sedaya-upaya menggunakan segala logistik yang ada.
   
"Sejak semalam saya dan pegawai lain cuba mencari jalan alternatif untuk sampaikan bekalan tapi memang sukar. Sudahlah bilangan bot kami terhad, arus pula deras semacam dan memang ada risiko tinggi untuk kami redah.

"Apa yang kami boleh harapkan ialah pihak atasan dapat membantu menyampaikan bantuan melalui helikopter. Itu sahaja yang boleh dilakukan buat masa kini," katanya lagi. 

Pembantu perubatan klinik swasta dari Bagan Serai, Perak Razali Manaf, 45, berkata beliau serta isteri dan anak pulang ke sini untuk melihat keadaan rumah ibu mentua beliau. 

"Sebenarnya kampung emak mentua saya memang dah lama tak naik air. Tapi memang betul-betul tak sangka kali ini jadi pulak. Sudahnya saya dan keluarga dah tiga hari berlindung di sini (PPS SMK Keroh)," katanya. - Bernama

Sinar Harian