Friday, 12 December 2014

Protes harga minyak pada ambang tahun baru

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan kumpulan aktivis bakal mengadakan demonstrasi pada ambang tahun baru untuk mendesak kerajaan menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.90.

Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Muhamad Azan Safar berkata, tindakan menghapuskan subsidi oleh kerajaan BN adalah tidak adil dan membebankan rakyat.


“Antara NGO dan parti politik yang bakal menyertai demonstrasi ini adalah Solidariti Anak Muda Malaysia, Pas, PKR serta Pemuda DAP.

“Demonstrasi ini akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Disember bermula jam 9 malam," katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, demonstrasi berkenaan tidak memerlukan permit berhimpun daripada pihak berkuasa kerana selain berdemonstrasi pihaknya turut meraikan ambang tahun baharu.

“Kami turun berhimpun seperti orang ramai bagi meraikan ambang tahun baharu tetapi dengan cara membawa mesej mendesak kerajaan menurunkan harga minyak,” katanya.

Muhamad Azan berkata, himpunan berkenaan bakal berlangsung secara aman tanpa berlaku sebarang kekecohan.

“Tahun lepas kami turut mengadakan demonstrasi mendesak kerajaan menurunkan harga barangan dengan dihadiri lebih 10,000 peserta. Saya jangka jumlah ini akan bertambah pada tahun ini.

"Diharapkan tidak ada pihak yang melemparkan tuduhan liar terhadap himpunan aman yang akan berlangsung nanti,” katanya.

Beliau mendakwa, formula apungan harga terkawal yang diamalkan oleh kerajaan kini memberi jaminan pembayaran balik kos dan keuntungan kepada syarikat-syarikat minyak sebanyak 30 sen seliter.

“Kami percaya harga yang adil kepada rakyat ialah RM 1.90 seliter bagi RON95 iaitu dengan mengambil kira harga pasaran dunia,” katanya.