Saturday, 13 December 2014

Piala AFF Suzuki 2014: Tiket secara online mula dijual esok, Ahad (14 Disember 2014)

Penjualan tiket menerusi atas talian (online) bagi perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014, Sabtu depan akan mula dijual mulai esok sehingga Rabu depan.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, kepada media selepas membuat tinjauan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.


Turut hadir, Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad.

Bagi tiket biasa pula, Hamidin berkata ia akan mula dijual di kaunter mulai Khamis ini hingga Sabtu, dengan harga ditetapkan RM50 bagi dewasa dan RM10, kanak-kanak.

Katanya, harga ditetapkan itu cukup memadai dan lebih murah berbanding di Singapura iaitu 26 dolar Singapura (RM67) serta USD20 (RM69) di Vietnam pada perlawanan sebelum ini.

Dalam pada itu Hamidin berkata, sebanyak 2,500 tiket diperuntukkan kepada penyokong Thailand.

"Di Bangkok, Thailand nanti, mereka bagi kita 2,500 tiket untuk penyokong dan jumlah sama juga akan kita peruntukan kepada mereka," katanya.