Sunday, 21 December 2014

Pernah makan kuih ni?

Kuih tradisional putu halba yang membangkitkan selera dengan aromanya yang wangi dan dihidang panas, kini menjadi satu daripada hidangan popular bagi masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang pada musim banjir.
 
Kuih yang diperbuat menggunakan ubi kayu yang dicampur dengan gula melaka, gula pasir, halba dan dinikmati bersama kelapa parut itu kini boleh didapati di kebanyakan tempat seperti gerai menjual kuih di pinggir jalan, pasar dan pusat pemindahan banjir dengan harga RM0.50 sebiji.

 
Bagi seorang peniaga kuih itu, Rakiah Yusof, 56, berkata, setiap kali musim banjir, kuih putu halba mendapat permintaan agak tinggi.
   
"Saya mampu meraih pendapatan antara RM200 dan RM700 sehari pada musim banjir ini dan sambutan yang diterima agak menggalakkan," katanya ketika ditemui di Kampung Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini, hari ini.
   
"Kalau pada waktu biasa (bukan musim banjir), permintaan terhadap kuih ini tidak banyak, dan kita hanya boleh dapatkan kuih ini di sesetengah tempat sahaja," katanya.

Seorang lagi peniaga Rosmah Deraman, 42, yang menjual kuih putu halba di Kampung Kota, Jalan Pintu Geng di sini, berkata, permintaan terhadap kuih tersebut bergantung kepada keadaan hujan.
   
"Kalau hujan turun lebat dan kerap, jualan kuih ini mampu mencecah sehingga RM500 sehari.. ia bergantung kepada keadaan hujan, mungkin orang suka makan kuih ini panas-panas," katanya yang dibantu tiga orang pekerja.
   
Ditanya kenapa kuih ini banyak dijual pada musim banjir, dia berkata pada musim ini bekalan ubi kayu mudah didapati kerana penanam akan menuai ubi tersebut bagi mengelakkan ia rosak ditenggelami banjir. 

Bernama