Sunday, 7 December 2014

Menjejak Rafflesia di Pos Jedip

Seramai 65 ahli Kelab Kebajikan, Sukan dan Sosial (Kesuma) Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) mengadakan Program Ekspedisi Menjejak Bunga Rafflesia di Pos Jedip, Lojing dekat sini, Rabu lalu.

Turut sama, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Hutan Kelantan, Pemaju Bandar Utama Gua Musang dan kakitangan Majlis Daerah Bachok (MDB) yang mengambil masa sehari meninjau kawasan berkenaan.

Setiausaha Kesuma, Kamarudin Idris berkata, program itu julung kali diadakan bagi memberi peluang kepada ahli kelab dan agensi lain menikmati persekitaran yang mempesonakan dan melihat sendiri bunga Rafflesia yang tercantik di negara ini.

Beliau mengakui sebahagian ahli tidak pernah melihat dengan lebih dekat bunga Rafflesia atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai bunga pakma yang tumbuh di kawasan tertentu sahaja dan Pos Jedip ada keistimewaan itu.

“Kita sedia menganjurkan program serupa selepas ini jika ada pihak atau agensi kerajaan yang berminat menyertainya kerana ia memberi banyak pengalaman dalam pendakian bukit untuk ke kawasan berkenaan.

“Mereka yang menyertai program pertama ini jelas gembira apabila dapat melihat keindahan alam semula jadi yang boleh dijadikan pusat pelancongan menarik di hulu Kelantan,” katanya.

Kamarudin berkata, bukan mudah untuk masuk ke kawasan berkenaan kerana ia mengambil masa beberapa jam untuk sampai dengan berjalan kaki.

“Sepanjang berjalan kaki, kita dapat menghayati suasana keindahan alam semula jadi dengan laluan di lereng bukit dan air terjun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPBD, Anispekri Muhyiddin berkata, program seumpama  itu sekali gus dilihat platform mempromosikan produk pelancongan yang ada di Pos Jedip kepada penduduk dari dalam dan luar negara.

Katanya, bunga Rafflesia di Pos Jedip  adalah spesies berbeza daripada yang terdapat di Borneo kerana corak dan warnanya luar biasa serta jarang ditemui.
Sumber: Sinar Harian