Wednesday, 24 December 2014

Mari sama-sama kita bersolat hajat mohon Allah redakan banjir yang melanda

Semua masjid di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat hajat dan munajat bagi memohon kepada ALLAH SWT supaya meredakan musibah banjir yang sedang melanda.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata ,beliau berharap ia mendapat penglibatan para alim ulama, pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia.

Keadaan banjir di salah sebuah sekolah di Kuala Krai
Beliau berkata semoga dengan usaha dan doa itu, ia akan diterima ALLAH SWT sekali gus meredakan musibah yang melanda.

"Ia juga bagi mendoakan keselamatan diri dan harta benda, kesihatan yang baik, keteguhan iman dan diberikan kekuatan kepada mereka yang terlibat termasuk mangsa, petugas keselamatan dan seluruh rakyat Malaysia yang berada di kawasan berkenaan (dilanda banjir)," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya Jakim melalui masjid utama di bawahnya iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya serta seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan akan bersama-sama mengadakan solat hajat dan munajat secara berterusan bermula hari ini.
Selain itu, Kutipan Derma Khas Masjid juga akan dilancarkan Jumaat ini yang akan disalurkan oleh Unit Bantuan Musibah dan Bencana, Bahagian Dakwah Jakim kepada mereka yang berkenaan, katanya.

Othman juga berharap semua Jabatan Agama Islam Negeri turut mengambil inisiatif yang sama agar masjid dan surau di bawah pentadbiran negeri masing-masing turut menunaikan solat hajat dan munajat.

Bernama