Tuesday, 16 December 2014

Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 1,673 pagi ini

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 1,673 orang dari 424 keluarga pagi ini berbanding 480 orang malam tadi.

Portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu menyatakan sehingga 9 pagi ini, kesemua mangsa itu ditempatkan di 23 pusat pemindahan di enam daerah.
Foto: FB Info Banjir Terengganu
Setakat ini, hanya daerah Dungun belum dilanda banjir.

Marang mencatat mangsa pemindahan paling ramai iaitu seramai 646 orang daripada 163 keluarga diikuti Kemaman 519 orang (122 keluarga), Setiu 416 orang (114 keluarga).

Lain-lain daerah iaitu Besut 16 orang (tiga keluarga), Hulu Terengganu 54 orang (18 keluarga) dan Kuala Terengganu 22 orang (5 keluarga).

Sebanyak 23 pusat pemindahan termasuk masjid, balai raya, dewan sivik, rumah pegawai ladang, bangunan sekolah dan surau dibuka iaitu tiga di Marang, Kemaman (9), Setiu (7), Hulu Terengganu (2) dan masing-masing satu dibuka di Kuala Terengganu dan Besut.

Sementara itu, keadaan cuaca di bandar ini mendung dan hujan sekali sekala.

Astro Awani