Thursday, 18 December 2014

Kenapa perlu memohon sijil halal JAKIM

Kekangan kewangan dialami usahawan terutama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan punca mereka gagal memohon sijil halal untuk memasarkan produk.

Pengarah Urusan Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ), Zamri Norani berkata, berdasarkan peratusan secara purata, hanya 30 peratus usahawan Bumiputera di negara ini memiliki sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), manakala selebihnya dikuasai usahawan bukan Bumiputera.

“Mereka sebenarnya sedar akan kepentingan mengeluarkan produk halal di pasaran tetapi disebabkan kekangan tersebut menyebabkan ‘orang kita’ berkira untuk mengeluarkan modal bagi memiliki sijil halal.

“Sebaliknya, dalam kalangan usahawan bukan Bumiputera yang memang menyasarkan pembeli dalam kalangan Muslim dan perlu untuk mereka memiliki sijil halal bagi memasarkan produk,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, usahawan seharusnya tidak hanya memikirkan produk mereka berlegar di pasaran tempatan sahaja, sebaliknya sehingga ke pasaran antarabangsa.

“Dengan memiliki sijil halal, ia memberi keyakinan lebih tinggi kepada pembeli di atas produk dikeluarkan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Program Halal Negeri Sembilan 2014 - Pematuhan dan Insentif Dalam Perniagaan, di Fakulti Pengajian Quran & Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di sini, semalam.

Sementara itu, Zamri berkata, pihaknya sedia menjadi jambatan dengan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk menyalurkan maklumat  berkaitan hal ehwal pengurusan industri halal di Malaysia.

“Ini adalah bagi meningkatkan kefahaman, keperluan dan kepentingan standard, penguatkuasaan dan pematuhan sijil halal selain mengenal pasti hala tuju industri halal daripada beberapa perspektif, pendekatan dan startegi badan-badan yang berkepentingan,” katanya.

Seramai 290 peserta terdiri dalam kalangan usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia, kakitangan Risda, industri dan pelajar Usim terlibat dalam program berkenaan.

Pada program itu, turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan sebanyak RM92,866 oleh Syarikat QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS).

Sinar Harian