Sunday, 21 December 2014

Jangan terpedaya jualan murah

Pengguna diingatkan jangan terpedaya dana cepat mudah terpengaruh dengan tawaran harga jualan murah atau potongan harga sempena jualan akhir tahun (YES).

Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Terengganu, Mohd Zukee Mohd Ragam berkata, pihaknya bimbang ada peniaga mengambil kesempatan dengan menawarkan potongan harga tanpa kelulusan pada hal harga ditawarkan itu lebih mahal daripada premis yang tidak membuat jualan murah.

“Pengguna perlu sentiasa berwaspada dan hati-hati dengan tawaran yang diuar-uarkan serta tidak percaya seratus peratus pada potongan harga diberikan.

“Sebaliknya membuat  penelitian dan perbandingan harga sebelum membeli kerana kita bimbang terdapat kedai yang menjual dengan harga lebih rendah, meskipun tiada tawaran harga dilakukan," katanya.

Kata beliau, walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan Ops Bongkar di seluruh negara bagi mengesan peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pengguna sepanjang tempoh jualan murah akhir tahun, pengguna masih perlu waspada dan sentiasa menjadi pengguna bijak dalam mermbuat keputusan untuk membeli.
Antara premis di sekitar Kuala Terengganu yang mempamerkan tanda harga sebelum dan selepas promosi dengan jelas kepada orang ramai.
Beliau berkata, untuk menyertai YES, peniaga perlu membuat permohonan dengan kementerian berkenaan  sebelum mereka diberikan tempoh 30 hari untuk menjalankan perniagaan (jualan murah) di premis masing-masing.

“Notis yang jelas juga perlu diletakkan bagi membuktikan peniaga sudah memaklumkan mengenai YES yang dijalankan selain membolehkan pengguna mengetahui tempoh promosi berlangsung serta pamerkan harga sebelum dan harga selepas promosi ,” katanya.

Sinar Harian