Tuesday, 16 December 2014

Jangan panik nilai ringgit jatuh, kata MITI

Kejatuhan nilai mata wang ringgit sebenarnya memberi ruang lebih luas kepada kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara pada tahap lebih baik.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Ir Hamim Samuri berkata, kerajaan melalui Miti dalam usaha tersebut akan menggalakkan dan memberi fokus kepada pembangunan peningkatan kualiti produk tempatan supaya setanding produk luar negara.


“Kualiti yang baik membolehkan lebih banyak produk dieksport ke pasaran antarabangsa. Peluang ini (nilai ringgit turun) boleh bantu pulih ekonomi negara.

“Bila barang murah dapat galak lebih ramai pelancong datang ke negara ini. Sebagai contoh, pelancong Singapura tertarik datang ke negara ini kerana nilai ringgit lebih murah berbanding dolar Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Berkhatan Anak-anak Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Johor Daerah Ledang bersama Umno Bahagian Ledang dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Daerah Ledang di Masjid Bandar Tangkak, semalam.

Awal Disember lalu, nilai mata wang ringgit dilihat bergerak ke arah trend menurun terbesar berbanding dolar Amerika sejak krisis kegawatan ekonomi pada tahun 1997-1998.

Ringgit menyusut 1.3 peratus kepada 3.4250 berbanding satu dolar Amerika.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, penurunan nilai ringgit dipengaruhi oleh kejatuhan harga minyak dunia serta komoditi mentah seperti getah dan kelapa sawit sejak kebelakangan ini.

“Kita jangka lebih ramai pelabur akan berminat  melabur ke negara ini dalam situasi ini (nilai ringgit turun) disebabkan nilai mata wang yang lebih rendah yang boleh meningkatkan keuntungan mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau meminta rakyat supaya tidak panik dengan keadaan itu yang sememangnya tidak boleh dikawal, namun  yakin  tindakan agresif kerajaan akan  dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Sinar Harian