Tuesday, 23 December 2014

Hentikan sementara sebarang aktiviti di kawasan Tasik Kenyir

Kerajaan negeri meminta agensi kerajaan menghentikan sementara sebarang aktiviti di kawasan Tasik Kenyir bagi mengelak sebarang kejadian buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat berkata langkah berkenaan perlu dilaksanakan berikutan keadaan cuaca semasa yang tidak menentu.

Tanah runtuh di Felda Aring Kenyir (foto FB)
Beliau yang juga Adun Kawasan Telemong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai  kejadian 26 kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkandas di Gunung Gagau, Tasik Kenyir sejak tiga hari lalu.

Mereka yang dikatakan membuat kerja-kerja ukur berhampiran gunung berkenaan dijangka keluar menggunakan helikopter namun gagal keluar berikutan faktor cuaca.

Jabatan bomba dan penyelamat mula memasuki kawasan terbabit kira jam 8:00 pagi tadi menggunakan bot kira bagi membantu membawa keluar kesemua mereka ke pengkalan Gawi.

Dalam pada itu, Datuk Rozi berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengatasi jalan yang rosak di laluan menghala ke Tasik Kenyir.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna jalan raya supaya mendapatkan maklumat dari MKN dan JKR mengenai jalan yang rosak dan ditenggelami air bagi mengelak terperangkap dalam perjalanan.

Astroawani