Saturday, 20 December 2014

Hampir sejuta kebuluran akibat Ebola

Penutupan sempadan, perintah kuarantin dan kerugian hasil tanaman di negara Afrika Barat akibat penularan wabak Ebola telah menyebabkan hampir sejuta penduduk kini diancam kebuluran.

Program Makanan Dunia PBB memberitahu sekatan ke atas negara yang terjejas teruk akibat virus pembawa maut itu telah memberi kesan besar kepada sektor pertanian dan bekalan makanan di rantau tersebut.

Kanak-kanak di negara terjejas akibat Ebola juga kini diancam kebuluran.
"Situasi itu telah mengakibatkan Liberia, Guinea dan Sierra Leone mengalami kelembapan ekonomi sejak beberapa bulan lalu.

Ia sememangnya mengancam rantaian pemprosesan dan menjejaskan pasaran makanan di rantau terbabit," jelas laporan itu lagi, dipetik AFP.

Difahamkan, jumlah penduduk diancam kebuluran mungkin meningkat lebih satu juta menjelang Mac depan jika tiada langkah segera diambil untuk melindungi ternakan dan hasil tanaman di negara Afrika Barat terbabit.

Sinar Harian