Tuesday, 9 December 2014

Dua hutang, satu kehidupan

Berbahagialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat sejak umur baligh. Tetapi mereka yang keinsafan datang lewat, kejahilan melampaui umur baligh, pasti ada tertinggal solat.

Maka solat yang ditinggal itu wajib dibayar, diqada. Tidak ada alasan lain kerana ia ibarat berhutang kepada Allah. Bertaubat sahaja tidak akan dapat memadam hutang ini.

Dalam kitab disebutkan, orang yang ada solat tertinggal, wajib menggunakan seluruh masa yang ada untuk mengqadanya, dan sebaiknya memilih untuk mengqada solat dari bersolat sunat.

Hitungan bilangan solat tertinggal kena dibuat. Berusahalah sedapat mungkin melangsaikan qada ini di samping memohon ampun, jika tidak berterusan pun, buatlah qada setiap waktu, moga akhirnya selesai juga. Moga sempatlah selesai sebelum maut menjemput. 

Satu lagi hutang yang kebanyakan orang ada adalah hutang kepada manusia. Wajib dibayar, mati bukan bermakna tutup buku hutang kerana di akhirat masih dituntut dan dibalas. 
Doodle: http://lyfeofatikah.blogspot.com/
Hutang berjadual hendaklah dipatuhi jadualnya seperti hutang beli rumah. Hutang tak terjadual seperti kepada kawan, adik-beradik, atas dasar bila ada duit, akan bayar. 

Hutang tak terjadual inilah pada setengah orang meremehkannya, menangguhkannya, hingga jadi perbalahan.

Orang yang berhutang sebenarnya kena menggunakan seluruh wang yang ada baki dari keperluan asasnya untuk bayar hutang. 
Doodle: http://lyfeofatikah.blogspot.com/
Ia sepatutnya tidak boleh berbelanja perkara diluar dari keperluan asas seperti beli hp, camera, joran, bawa anak makan kfc, domino pizza dan sebagainya, tetapi mengguna wang ini untuk bayar hutang yang dijanji “bila ada duit aku bayar”.

Bila mati seseorang, warisnya wajib selesaikan hutangnya dahulu sebelum hartanya difaraid. Adalah elok waris yang tinggal membuat pengumuman agar sesiapa yang ingin menuntut hutang si mati, supaya berbuat demikian kepada warisnya atau menghalalkannya untuk memastikan si mati tidak terbawa hutang ke hadapan Tuhan. 
Doodle: http://lyfeofatikah.blogspot.com/
Perkara utama saya nak peringatkan kali ini ialah hutang baik kepada Allah atau kepada manusia kena diberi priority, keutamaan melebihi hal lain yang tidak wajib. 

Elakkan berhutang sedapat mungkin kerana jika kita berhutang ibarat kita meyakini akan hidup lama lagi sedangkan hanya Allah yang menggenggam umur kita. 

Nukilan: Cikgu Abd Ghani Haron