Saturday, 6 December 2014

Derma organ satu anugerah kehidupan

SAYA adalah pesakit buah pinggang semenjak 2001. Pada 5 Ogos 2010, ibu saudara saya telah mendermakan satu buah pinggangnya kepada saya.

Alhamdulillah, selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang, Selangor, kualiti hidup saya menjadi bertambah baik.

Lalu bicara ini ingin saya kongsi agar semua pembaca faham erti pendermaan organ. Nyawa adalah anugerah ALLAH SWT yang tidak ternilai dan tidak mampu dijual beli.

Islam amat mementingkan penjagaan nyawa dan mengharamkan ia dicabut tanpa sebab yang sah mengikut syarak seperti dalam perlaksanaan hukum kisas (bunuh balas).

Beroleh kelonggaran

Dalam situasi mendesak, sesetengah hukum yang asalnya haram diberikan kelonggaran apabila bertembung dengan risiko menjaga nyawa. Seseorang yang terancam nyawanya dengan kelaparan yang teramat sangat diberikan rukhsah (kelonggaran) untuk menyentuh makanan yang asalnya haram pada kadar tertentu sahaja demi untuk menjaga kesinambungan nyawa.

Firman ALLAH: “Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana ALLAH maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 173)

Dengan nyawa di badan, seseorang mampu melakukan apa sahaja yang dikehendakinya tanpa batasan. Bagaimanapun, kebebasan ini tidak mampu dimiliki oleh sesetengah orang yang mengalami penyakit kronik seperti sakit jantung dan buah pinggang.

Penyakit yang mereka hidapi seolah-olah sudah mencabut sebahagian daripada nyawa dan kenikmatan hidup mereka. Hari yang mereka lalui menjadi suram dan menjejaskan produktiviti mereka sebagai seorang manusia, hamba Tuhan dan warganegara sesebuah negara.

Dalam konteks ibadah, pesakit kronik mengalami kepincangan kehidupan ibadah mereka kerana batasan fizikal yang mereka alami. Contohnya, pesakit buah pinggang yang bergantung kepada rawatan cuci darah berterusan tidak lagi mampu untuk menunaikan ibadah haji yang menjadi salah satu rukun Islam.

Walaupun ulama memberikan kelonggaran dan pengecualian kepada mereka daripada melaksanakan rukun Islam ini, namun jauh di sudut hati mereka kesedihan tetap dirasai kerana tidak mampu memenuhi tanggungjawab rukun Islam kelima ini.

Sedekah dalam Islam

Tidak kurang juga kesan sakit yang mereka alami menyebabkan kepincangan kepada produktivi negara kerana mereka ini sudah pasti salah seorang kakitangan kerajaan atau swasta yang diperlukan tenaganya untuk membangunkan negara.

Banyak sekali kita dapati pesakit kronik menemui ajal di usia muda atau menyerahkan borang persaraan sebelum waktu yang sepatutnya. Bayangkan kerugian modal insan yang dialami oleh kerajaan berikutan kepincangan ini. Di tengah kekecewaan ini, kita semua berpeluang untuk mengubah nasib mereka dengan anugerah tubuh badan sihat kurniaan ALLAH kepada kita.

Bantuan pendermaan organ bukan sahaja membantu para pesakit kronik ini sahaja bahkan turut membantu keluarga mereka dan yang jauh lebih besar membantu negara dengan mengembalikan tahap kesihatan mereka kepada tahap yang lebih baik untuk terus berkhidmat kepada negara mengikut kepakaran yang mereka miliki.
Melihat kepada fakta ini, sebenarnya anugerah organ yang diciptakan ALLAH sebenarnya mempunyai signifikan sosial yang cukup besar. Pendermaan organ boleh disifatkan sebagai kemuncak sedekah yang digalakkan Islam kerana ianya melibatkan anugerah nyawa kurniaan ALLAH.

Walaupun hanya sebahagian organ didermakan kepada yang memerlukan, namun ianya secara tidak langsung memberi sekelumit nyawa untuk sebuah penghidupan. Nyawa pastinya menjadi aset yang paling dihargai manusia kerana kehilangannya amat dibimbangi dan akan ditangisi.

Pendermaan organ juga mempunyai banyak kelebihan rohani yang tidak disedari oleh ramai orang. Organ yang didermakan bakal menjadi saham akhirat sekiranya penerima organ tersebut meneruskan bakti mereka kepada agama.

Setiap gerak laku ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji, bakti kepada negara dan sebagainya pasti membuahkan saham kepada penerimanya kerana tanpa bantuan organ yang disumbangkan, si pesakit tidak akan mampu meneruskan hidup mereka secara sempurna ibadahnya.

Juga stigma bakal penerima organ itu terdiri daripada penganut agama lain. Seolah-olah nikmat kesihatan yang bakal diperolehi oleh penerima organ bukan Islam bakal menjadikan mereka bertambah teguh pegangan agama mereka dengan subahat organ yang didermakan oleh penderma Islam.

Sedekah dan pendermaan menurut Islam adalah buta agama dan warna kulit. Islam tidak pernah membataskan agama dalam isu sedekah kerana sedekah adalah tanggungjawab manusia manakala hidayah kepada Islam adalah hak mutlak ALLAH.

Orang yang terbantut hajat sedekahnya perlu memahami hak ALLAH dalam memberikan hidayah tidak boleh dicerobohi sama sekali. Pada penilaian ALLAH SWT, penderma akan mendapat pahala amalannya tetapi tidak akan menanggung dosa penerima sedekahnya walaupun si penerima sedekah menggunakan sedekahnya untuk menderhakai ALLAH.

Dengan kefahaman begini, saya berharap kebajikan akan tersebar dan Islam bertambah cantik pada mata semua tanpa mengira agama.

USTAZ ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM
Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Sumber: Sinar Harian