Thursday, 11 December 2014

Buah pinggang rosak selepas makan produk turunkan berat badan ini

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memakan dua produk menurunkan berat badan haram yang diperoleh secara dalam talian, sehingga menyebabkan dua remaja dimasukkan ke hospital kerana mengalami halusinasi dan kegagalan buah pinggang yang teruk selepas menggunakannya.

Salah satu produk, 'Nutri Drops Grapefruit Diet' diuji oleh HSA mengandungi bahan kimia yang tidak diisytiharkan seperti sibutramine, benzyl sibutramine (sejenis sebatian berkaitan kimia daripada sibutramine) dan phenolphthalein, kata pihak berkuasa itu dalam kenyataan.

Sibutramine, sejenis ubat menurunkan berat badan diharamkan di Singapura sejak 2010 berikutan kebimbangan keselamatan yang serius terhadap pengguna.

Paras sibutramine yang dikesan dan ditemui adalah pada kuantiti yang tinggi dan boleh meningkatkan toksik dalam produk tersebut.

Produk kedua adalah 'Nutrex Research Adipodex' yang dipasarkan secara dalam talian sebagai makanan diet tambahan dan dilabel mengandungi yohimbine iaitu mengandungi ramuan perubatan barat yang tidak dibenarkan dijual dalam makanan tambahan yang dijual di negara ini.

Kedua-dua kes penyakit serius berkaitan dengan produk menurunkan berat badan yang menyalahi undang-undang itu, dilaporkan kepada HSA oleh mereka yang profesional dalam penjagaan kesihatan, baru-baru ini.

Seorang remaja mengalami halusinasi selepas memakan 'Nutri Drops Grapefruit Diet' lebih daripada sebulan untuk mengurangkan berat badan dan beliau telah dimasukkan ke hospital.

Seorang lagi individu berusia 20-an menggunakan 'Nutrex Research Adipodex' yang diiklankan untuk menurunkan berat badan dan mengalami kegagalan buah pinggang yang teruk menyebabkan beliau dimasukkan ke hospital.

Kedua-dua produk berkenaan dibeli secara dalam talian dan dikatakan dapat membantu mengurangkan berat badan.

'Nutri Drops Grapefruit Diet' dilabel mengandungi bahan-bahan semula jadi seperti anggur, 'raspberry ketone', 'hawthorn berry', teh hijau dan delima tetapi dikesan mengandungi bahan-bahan yang diharamkan.
Bernama