Wednesday, 3 December 2014

BR1M bukan lagi dalam bentuk wang tunai?

Kerajaan akan mempertimbangkan untuk menukar  kaedah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bentuk baucar atau kad di masa depan bagi menggantikan pemberian dalam bentuk wang tunai.
 
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata kerajaan hanya akan melaksanakan kaedah baharu itu setelah mengambil kira keutamaan keperluan rakyat serta kemudahan infrastruktur setempat dalam menggunakan kaedah itu.
 

"Kerajaan akan mempertimbangkan kaedah pemberian BR1M dalam bentuk baucar atau kad pada masa hadapan, yang hanya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian yang telah dikenal pasti," katanya menjawab soalan Senator Roslin Abdul Rahman pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
   
Tee Yong berkata, kerajaan akan membuat kajian terperinci dan membuat penambahbaikan ke atas program bantuan tahunan yang bermula pada 2012 itu, agar objektif kerajaan ke arah peralihan subsidi bersasar tercapai.
   
"Bantuan ini diberikan secara menyeluruh kepada semua yang layak tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik," katanya.

Sementara itu, Tee Yong berkata, sebanyak 216,374 rakyat tempatan telah diambil bekerja dalam 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama, yang tersenarai dalam Program Transformasi GLC (G20), sehingga 31 Disember tahun lepas.
   
Menjawab soalan Senator Abdul Shukor Mohd Sultan, Tee Yong berkata, jumlah itu adalah 85 peratus daripada keseluruhan 254,042 orang yang diambil bekerja untuk syarikat berkenaan.
   
"GLC utama yang terlibat dalam G20 juga secara berterusan menyediakan peluang latihan dan pembangunan diri kepada para pekerjanya.

"Pada 2013, G20 telah membelanjakan RM513 juta bagi tujuan melatih dan membangunkan kapasiti serta kompetensi para pekerja," katanya.
   
GLC sentiasa mengutamakan rakyat tempatan dalam pengambilan pekerja mereka, malah antara sumbangan terbesar syarikat itu kepada negara adalah penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, kata Tee Yong.
Sumber : Bernama