Tuesday, 2 December 2014

Kenapa bomba syor pengguna ada alat pemadam api?

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mengesyorkan agar setiap pengguna jalan raya memiliki alat pemadam api sebagai langkah pencegahan awal dalam kebakaran kenderaan.


Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkata, alat berkenaan boleh mencegah kebakaran daripada merebak dengan cepat, selain dapat menyelamatkan mangsa dan harta benda.


"Mangsa atau pengguna jalan raya lain juga dapat membantu memadam dan mengawal kebakaran yang berlaku sebelum bomba tiba di tempat kejadian," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Khiruddin berkata, walaupun jumlah kematian akibat kebakaran dilihat tidak terlalu serius namun kejadian sedemikian perlu ditangani bersama semua pengguna jalan raya.

"Walaupun pihak bomba belum mewajibkan penggunaan alat itu dalam kenderaan persendirian, tetapi masyarakat perlu tahu bahawa alat berkenaan memainkan peranan penting untuk menyelamatkan nyawa," katanya.

Beliau berkata alat itu dijual sekitar RM75 hingga RM100 satu silinder bergantung kepada saiz dan berat.
Sumber : Bernama