Thursday, 4 December 2014

Bina rumah berdindingkan buluh

Seorang bapa terpaksa membina sendiri rumah daripada buluh dan batang pokok gelam kerana tidak mampu membayar sewa rumah RM350 sebulan akibat kesempitan hidup.

Walaupun rumah dibina di Kampung Banir Belikong, Selising dekat sini, agak daif, ia tetap akan menjadi tempat perlindungan empat sekeluarga itu kerana tidak mempunyai pilihan lain.

Che Isa Che Daud, 43, berkata, keluarganya bernasib baik kerana masih ada tanah milik ibunya untuk dia membina rumah tersebut.
“Saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak mampu lagi membayar sewa rumah, akhirnya saya memilih membina rumah sendiri sejak sebulan lalu.

“Saya mengeluarkan perbelanjaan RM600 untuk membeli atap nipah, bahan lain terutama buluh dan pokok gelam saya cari sendiri,” katanya.

Dinding rumah dibuat daripada batang buluh yang dipecah-pecahkan, sementara tiangnya daripada batang pokok gelam.

Ketika ini Che Isa menyiapkan lantai konkrit yang dibuat secara berperingkat kerana tidak mampu membeli simen dalam jumlah banyak dalam satu masa.

Che Isa bersama isteri, Maskah Awang, 35, dan tiga anak berusia 2 bulan, 18 dan 20 tahun serta seorang lagi anak saudara yang dipelihara berusia 18 tahun akan menghuni rumah berkenaan dalam masa terdekat.

Che Isa berkata, dia belum memikirkan kemudahan lain untuk rumah tersebut seperti tandas dan bilik air.

"Yang penting saya siapkan rumah ini cepat supaya keluarga dapat berlindung dan berharap ada pihak dapat membantu meringankan beban saya sekeluarga,” katanya.

Orang ramai mahu membantu boleh menghubungi jiran mereka, Aziz Halim menerusi talian 0111-4943100.
Sumber: Sinar Harian