Sunday, 14 December 2014

Berpadalah hampir 20 tahun mengejar ilmu dunia!

Dalam satu majlis di sekolah, seorang pengetua memuji bekas pengetua sekolah tersebut. Katanya,

"Saya kagum dengan kesungguhan puan K yang sanggup belajar lagi lepas pencen untuk mendapat master di UUM dalam bidan pengurusan. Ini adalah satu langkah yang patut dicontohi…"


Saya langsung tak kagum, pujian tak kena tempat, sepatutnya bekas pengetua tu belajar bidang agama.

Sejak umur 5 tahun kita telah didedah kepada pendidikan keduniaan hinggalah kepada sekolah dan universiti, dengan tujuan memperolehi ilmu dunia untuk dapat pekerjaan atau untuk diguna dalam hidup.

Kebanyakan orang belajar agama secara selitan, kilikan dalam subjek agama, cukup untuk boleh buat ibadat, kecuali sebahagian mereka yang memasuki aliran agama hingga ke universiti.

Lebih 15 tahun belajar ilmu dunia, setelah itu sibuk pula bekerja hingga pencen. Lepas pencen nak belajar lagi ilmu dunia?

Sepatutnya ada perimbangan antara dunia dan akhirat, maka ilmu agama juga kena dipelajari hingga setahap universiti.

Sebaiknya semasa bekerja, kena rancang untuk belajar agama secara sambilan menerusi kuliah di masjid, kuliah di tv, media, pembacaan, menyertai kumpulan usrah dan jamaah dan sebagainya, untuk memenuhi perimbangan ilmu dunia dan akhirat yang diperintah Allah.

Bahkan jika ada kuliah secara off campus atau hujung minggu untuk bidang agama, inilah yang sebaiknya dikejar demi mematuhi tuntutan ini. Bukan untuk dibangga di mata manusia, tetapi dibangga pada pandangan Allah.

Jika nak belajar juga lepas pencen, buatlah degree bidang agama, bidang memahami quran dan hadis, bahasa Arab dan sebagainya.

Bila pencen, itu umur subsidi yang Tuhan kurnia untuk ibadat lebih banyak kerana masa kerja tak sempat, letih.

Masa pencen kena buat kebajikan kerana kita dapat rezeki buta tanpa bekerja, berkongsilah dengan mereka yang memerlukan.

Lebih 30 tahun seluruh tenaga dikerah untuk mendapat rezeki Tuhan beri menerusi gaji, habis dibelanja untuk anak isteri,  dipolok untuk perut sendiri, masa pencen tanggungjawab mungkin telah berkurang, nafsu perut sudah sempit, buatlah kebajikan.

Gunakan baki tenaga yang ada untuk ibadat, menambah ilmu agama, memantapkan pemahaman agama. Berpadalah dengan dunia yang telah dilalui.

Menyambung belajar ilmu dunia lepas pencen untuk apa, tubuh dah tak kuat untuk bekerja, mungkin untuk berbangga, untuk kepuasan diri.

Betul ilmu kena dituntut hingga liang lahad, tapi yang sampai liang itu ilmu sebagai bekal ke akhirat. Jangan tiru orang barat kerana mereka tidak mempercayai alam akhirat, jadi mereka tak perlu bekalan kesana.

Menyambung belajar untuk meningkat kemahiran waktu masih muda itu baik, tetapi berusahalah juga untuk menyambung belajar agama waktu muda.

Hentikanlah mengejar ilmu dunia bila usia dihujung senja, pencen, kerana pesan nabi umur umatnya antara 60 - 70 sahaja.