Thursday, 4 December 2014

Beri anak nama yang baik

Anak antara anugerah paling berharga yang diamanahkan kepada sesebuah keluarga selain menjadi pengikat kasih sayang antara ibu dan bapa.

Hakikatnya dalam pembentukan keperibadian dan sahsiah diri si kecil, ia seharusnya bermula daripada pemberian nama yang baik dan membawa maksud yang baik sebaik saja dilahirkan.

Gambar hiasan
Nama yang dipilih dan dibawa seumur hidup itu juga antara doa kepada diri mereka sendiri. Lantas ibu bapa harus memainkan peranan mereka selain tidak memandang remeh berkaitan pemberian nama.

Kini, kebanyakan ibu bapa semakin teruja dengan pelbagai pilihan nama terutama menjelang kelahiran cahaya mata. Tidak dinafikan, pemberian nama pada anak-anak menjadi hak kepada ibu bapa itu sendiri, namun pemilihan nama yang mempunyai maksud yang baik sedikit sebanyak mampu memberikan impak positif kepada diri si kecil sehingga meningkat dewasa kelak mahupun sehingga ke akhir hayatnya.

Menurut penceramah bebas Mohd Assubhi Sidon, aspek pemberian nama kepada anak antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian khusus ibu bapa.

Menurutnya, pemberian nama yang mempunyai maksud yang baik bukan saja sebagai satu doa kepada mereka setiap kali dipanggil, malah ia turut memberikan kesan dalam pembentukan keperibadian dan sahsiah anak-anak.

"Nama yang baik pastinya memberi kesan yang baik kepada diri mereka, malah ia antara lambang keperibadian diri si anak.

"Namun sebaliknya jika ibu bapa tersilap dalam aspek pemberian nama, pasti ia memberikan kesan negatif kepada mereka. Malah jika nama yang dipilih terlalu pelik, tentunya ia turut mendatangkan kesukaran kepada si anak ketika berdepan dengan masyarakat kelak," ujarnya.

Mohd Assubhi berkata, selain itu pemberian nama yang terlalu panjang dan menyebabkan ia sukar untuk dipanggil secara penuh juga mengundang masalah kerana maksud nama sebenar yang dipilih tidak sampai.

"Apa yang penting, maksud nama itu sendiri kerana sekiranya pemilihan nama yang dibuat tidak mempunyai apa-apa maksud, ia seolah-olah sesuatu yang amat merugikan.

"Panggilan harian juga perlulah baik dan tidak membawa maksud yang bukan-bukan sehingga meninggalkan kesan negatif kepada tumbesaran anak-anak," katanya.

Ibu muda yang baru menyambut kelahiran bayi pertamanya pertengahan November lalu, Zainab Hassan, 26, berkata, pemilihan nama anak yang membawa maksud yang baik amat penting pada diri dan pasangan­nya.

Menurutnya, maksud nama anak yang dipilih itu juga bakal mencorakkan watak keperibadian anak dan sedikit sebanyak mampu menentukan karakter mereka sehingga dewasa.

"Apabila maksud nama itu baik, ia juga sebagai satu doa harian daripada semua individu yang memanggil pemilik nama itu dengan maksud yang baik.

"Saya dan suami memilih nama Mohd Lutfy buat anak pertama kami yang membawa maksud 'kehalusanku kelembutanku' dan berharap nama ini bersesuaian dan dijadikan sebagai doa kepadanya," katanya.

Zainab berkata, nama anaknya itu pilihan suaminya, Mohd Fuad Mohd A Rasol. Harapan mereka nama yang dipilih itu mampu membawa kesan yang baik kepada diri Mohd Lutfy sehingga ke akhir hayatnya.
Sumber: Harian Metro