Monday, 8 December 2014

Berdoalah untuk menjadi tangan yang di atas

Kita kena mohon kepada Allah supaya kita boleh melakukan amal kebajikan, atau dibuka jalan untuk melakukan amal ibadat.

Jangan mengharap kepada kerajinan dan kerelaan kita sahaja kerana kita sentiasa dihalang dan dibatasi oleh syaitan.

Jalan keluar yang terbaik ialah berdoa meminta kepada Allah dibuka jalan, dipermudahkan untuk berbuat amal ibadat dan kebajikan.

Jika anda mengharap terjaga malam untuk qiam, besar kemungkinan anda tidak akan terjaga kerana syaitan mengunci anda dengan 3 kunci 

Tetapi jika anda berdoa meminta kepada Allah moga ia membangunkan anda malam itu, insya Allah, anda akan terbangun, jika tidak terbangun juga, sekurang-kurangnya kita telah berusaha memohon pertolongan Allah.

Perhatikan juga doa dalam khatam Quran, saya petik, ". . . . dan kurniakanlah kepadaku keupayaan untuk membaca Quran pada waktu malam dan siang, dan jadikan Quran sebagai hajat untukku... "

Kita kena mohon dipermudahkan untuk baca Quran, jangan tunggu rajin, sampai bilapun tak rajin. Jika anda berdoa untuk berbuat baik, Tuhan akan lorongkan jalan.

Saya contohkan, apa yang pernah saya alami, saya selalu berdoa dibuka jalan untuk buat kebajikan.

Dua hari lalu, seorang lelaki datang di rumah, tangan patah, kena buang kerja sebagai tukang masak, isteri hanya jurujual supermarket, ada anak, tinggal dirumah sewa. Datang hanya meminta beras dan gula.

Tergamam dan sedih mendengarnya. Di rumah,  ada beras sedikit saja, jadi saya bercadang mengambil beras dari stok niaga saya.

Subhanallah! Bila saya hubungi adik saya yang mengurus niaga saya, katanya beberapa hari lepas, pembekal beras ada mewakilkan satu beg 10 kg beras untuk disedekahkan.

Saya memberi apa yang dimintanya dan menambah sedikit keperluan lain.

Lihatlah, betapa Allah mengaturkan antara yang nak bersedekah, dengan yang memerlukan sedekah dan saya berdiri sebagai pengantara.

Betapa saya tak perlu pergi mencari, tetapi Allah datangkan kerana saya meminta untuk berbuat kebajikan.

Satu lagi kisah minggu lalu, saya tiba-tiba dihubungi seseorang yang bertanya,

"cikgu tak buat bantuan unifom sekolah anak yatim?"

Segera saya teringat ini satu jalan kebajikan dan Allah menggerakkan orang ini untuk memberi jalan kepada saya.

Bila saya pos dalam timeline saya, dalam tiga hari saya sudah perolehi lebih 4 ribu ringgit cukup untuk biayai 21 anak yatim membeli unifom.

Subhanallah, saya hanya pengantara untuk berbuat kebajikan, mungkin saya sendiri tak perlu keluar wang.

Kisah akhir, dua tiga minggu lalu, seekor kucing saya, Buntat, mengidap kurap di telinga dan kepala, berkeping-keping, berbiji keras. Kesian tengok dia menggaru.

Kucing bila jadi kurap memang dibenci, sebab itu ada istilah kucing kurap pada manusia. Kami tetap menyayanginya.

Tuhan Maha Pengasih, bila tukang masak saya diberitahu, dia menyuruh saya menyapu minyak goreng lauk.

Alhamdulillah, sekali sapu sahaja esoknya semua kurap luruh. Saya melihat ini satu jalan yang Allah beri kepada saya untuk berbuat baik kepada hambanya.
Kesimpulan, berdoalah untuk berbuat baik, berbuat kebajikan, jangan hanya berdoa untuk meminta mendapat itu ini sahaja.

Maksud saya berdoa untuk memberi, kerana banyak orang berdoa untuk mendapat / menerima.

Berdoa untuk menjadi tangan yang di atas yang lebih baik, dari tangan yang menadah seperti sabda Nabi.

Dikisahkan oleh Cikgu Abd Ghani Haron