Monday, 22 December 2014

Bangga! Syarikat Malaysia turut terlibat bina Burj Khalifa

Bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa menjadi mercu tanda pembangunan moden di Dubai malah puncaknya setinggi 830 meter boleh dilihat hampir di setiap sudut bandar ini.
 
Banyak yang teruja dengan kehebatan bangunan yang mula dibina pada 2004 dan siap pada 2010 itu namun tidak banyak yang menyedari bahawa sebuah syarikat Malaysia turut menyumbang kepada pembinaan bangunan pencakar langit itu.

 
Eversendai Corporation Berhad (Eversendai) melalui anak syarikatnya Eversendai Engineering LLC adalah syarikat yang terbabit dalam pembinaan kerangka keluli bagi bangunan setinggi 163 tingkat yang kini menjadi antara tarikan utama pelancong ke Dubai, sebuah kota termoden di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
   
Sejarah dan pencapaian kumpulan Eversendai itu diceritakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Eversendai Offshore RMC FZE, Narish Nathan kepada delegasi Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (Unimap) ke syarikat yang telah bertapak kukuh di UAE itu baru-baru ini.
   
Delegasi yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putera Jamalullail selaku Canselor Unimap melawat syarikat itu bagi mendedahkan para pelajar Unimap dengan teknologi kejuruteraan syarikat berkenaan.
   
Di Malaysia, Eversendai turut terbabit dalam pembinaan menara kembar Petronas yang turut menjadi mercu tanda pembangunan di Kuala Lumpur melalui pembinaan kerangka keluli.    

Burj Khalifa dan Menara Kembar Petronas adalah antara 10 bangunan mercu tanda di beberapa negara yang pembinaannya turut dijayakan oleh Eversendai.
   
Eversendai yang diasaskan pada 1982 dengan ibu pejabatnya di Rawang, Selangor kini turut memberi tumpuan kepada kegiatan pembangunan dalam industri minyak dan gas melalui anak syarikatnya, Eversendai Offshore RMC FZE yang kini bertapak kukuh di UAE.
   
Beliau berkata Eversendai Offshore RMC FZE yang merupakan syarikat fabrikasi marin serta minyak dan gas (O&G) memiliki kepakaran dalam projek di darat dan luar pesisir.
   
Menurut Narish, syarikat yang diterajuinya itu memberi tumpuan kepada kegiatan pembinaan kerangka besi bagi industri minyak dan gas seperti pembinaan bahagian atas pelantar, pengubahsuaian dan penyelenggaraan pelantar.
   
Selain UAE, Eversendai turut mencipta nama di beberapa negara lain termasuk Qatar, India dan Singapura melalui kegiatan-kegiatannya.
   
Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin memberitahu Bernama lawatan delegasi universiti itu ke Eversendai bukan sekadar menyaksikan kehebatan syarikat Malaysia di UAE tetapi mendedahkan kepada para pelajar tentang teknologi dan kepakaran syarikat itu.
   
Unimap yang kini sedang melonjak namanya di persada dunia terutama melalui kegiatan penyelidikan telah mengeluarkan lebih 10,000 ahli teknologi berkemahiran tinggi dan menyumbang kebolehan mereka termasuk di syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa.
   
Beliau berharap para pelajar yang terdiri daripada kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unimap sesi 2013/2014 itu memanfaatkan lawatan ke Eversendai yang telah membina identiti tersendiri dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan.
   
Universiti itu yang kini sedang berusaha untuk berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020 yakin syarikat itu dapat menyuntik semangat para pelajar tentang bagaimana penguasaan teknologi yang berkembang akan terus membuka ruang perniagaan yang besar.
   
Untuk menuju ke arah itu Unimap kini sedang melakar kerjasama dengan kelompok 200 universiti terbaik dunia bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran termasuk dalam kegiatan penyelidikan. 

Bernama