Sunday, 14 December 2014

Amaran kepada peminjam PTPTN yang belum menjelaskan hutang, nama anda akan disenaraikan dalam CCRIS mulai 1 Jan 2015

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak berhasrat melanjutkan tempoh pembayaran balik bagi peminjam tegar yang berakhir 31 Disember ini namun mereka dinasihatkan hadir di mana-mana pejabat perbadanan itu untuk urusan berkenaan.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya amat menggalakkan peminjam supaya hadir ke pejabat perbadanan itu untuk membincangkan kaedah pembayaran termasuk menerusi skim ansuran.


“Apa yang penting mereka perlu berjumpa dengan kami, ada pelbagai kaedah ditawarkan untuk tujuan pembayaran balik antaranya penstrukturan semula atau penjadualan semula pinjaman. Kaedah itu boleh dilakukan asalkan mereka datang untuk berbincang.

“Kita faham masalah peminjam ini, ada bermasalah daripada sudut kewangan tetapi kita benarkan potongan atau ansuran dilakukan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Simpanan Bonanza SSPN-i Siri Kedua dan Ketiga, di sini, semalam.

Pada 5 November lalu, PTPTN mengumumkan langkah menyenaraikan nama 173,985 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM1.23 bilion sejak lebih 10 tahun lalu dalam CCRIS mulai 1 Januari ini.

CCRIS kendalian Bank Negara Malaysia (BNM) adalah rekod dirujuk semua institusi kewangan tempatan dalam proses semakan mereka terhadap pelanggan yang mahu membuat pinjaman, bagi menentukan kelayakan dan kemampuan individu tertentu membayar balik pinjaman.

Pada perkembangan sama, Shamsul Anuar turut mengumumkan PTPTN akan membuka 25 kaunter di seluruh negara pada hujung minggu bertujuan kemudahan peminjam perbadanan itu untuk melakukan urusan pembayaran balik atau sebarang urusan berkaitan.

“Jika kita lihat masyarakat negara ini mempunyai kecenderungan untuk melakukan urusan atau pembayaran pada saat akhir, kita mengambil inisiatif untuk membuka kaunter berkenaan atas tujuan itu,” katanya.

Harian Metro