Monday, 15 December 2014

Amaran angin kencang, laut bergelora dijangka hingga Khamis

Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Condore, Reef North, Layang-layang, Palawan, Sarawak dan Labuan dijangka berterusan sehingga Khamis ini.


Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan pada Ahad berkata angin kencang dan laut bergelora itu mencapai kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dalam tempoh itu.

Di samping itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur juga terdedah kepada kenaikan paras air laut sehingga esok.

Angin kencang timur laut dan laut bergelora kategori kedua dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter pula dijangka berterusan di kawasan perairan Sabah, Labuan, Miri, Sarawak, Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan sehingga Khamis ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk menangkap ikan, perkhidmatan feri dan rekreasi laut, menurut kenyataan itu.

Bernama