Sunday, 14 December 2014

Akibat melanggar lampu isyarat, orang yang tak bersalah jadi mangsa

Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, maut selepas motosikal berkuasa besar yang ditunggangnya dirempuh pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa Khairul Zaimi Zakaria, 42, terpelanting sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala. Manakala pemandu Toyota Hilux berkenaan mengalami kecederaan ringan akibat pelanggaran itu.


Dipercayai mangsa dalam perjalanan dari Pasir Hor ke Rantau Panjang menyertai konvoi bermotosikal bersama beberapa rakannya.

Apabila sampai di lampu isyarat berhampiran Perodua Tunjung, mangsa yang berada di hadapan sekali dari konvoi itu memberhentikan motosikal selepas isyarat lampu merah.

Ketika lampu bertukar hijau, secara tiba-tiba muncul sebuah Toyota Hilux dari arah Kuala Krai Ke Kota Bharu lalu melanggar mangsa yang kebetulan berada di bahagian hadapan dan mangsa gagal mengelak.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan menurutnya kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan susulan.

“Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia pada jam 5.45 petang akibat pendarahan teruk di kepala dan mayatnya dihantar ke unit forensik HRPZ II untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan terhadap kes ini masih diteruskan dan meminta jika orang ramai melihat kejadian itu boleh laporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sinar Harian