Tuesday, 16 December 2014

Lama betul masa yang diambil untuk siapkan penyapu sabut, harga pula tersangat murah

BACHOK - Selepas berpuluh tahun mengabdikan diri sebagai pembuat penyapu tradisional daripada sabut kelapa, kini tiada lagi generasi baharu yang ingin mewarisi kemahiran itu.

Ibrahim Yaakob, 70-an, satu- satunya warga emas yang mewarisi kemahiran membuat penyapu sabut yang suatu ketika dahulu digunakan masyarakat setempat sebelum adanya penyapu plastik dan pelbagai medium lain.

Ibrahim mempelajari kemahiran itu daripada penduduk tempatan yang lebih veteran daripadanya sejak 1981.

“Sekarang pakcik semakin uzur, kesihatan selalu bermasalah dan buat penyapu ikut kudrat yang ada sahaja.

“Walaupun permintaan banyak dari Kelantan dan luar negeri ini, sehingga ke Kuantan dan Pulau Redang tetapi kudrat tua pakcik tidak berdaya untuk memenuhi semua permintaan tersebut.

“Pagi ini ada yang datang tempah 20 batang penyapu tetapi belum sempat dibuat sebab pakcik tak sihat sangat beberapa hari ni,” katanya yang mampu menyiapkan empat hingga lima batang penyapu sehari.

Menurutnya, proses membuat penyapu sabut agak rumit kerana sabut kelapa hijau perlu direndam dalam sungai berdekatan selama setahun.

Katanya, jika sabut yang direndam hanya lima atau enam bulan sahaja, ia tidak cukup lembut untuk diuraikan dan tidak menyerap air.

"Bahan tersebut perlu ditutup dengan kayu dan daun kelapa sebelum ia sesuai dijadikan asas penyapu," katanya.

Ibrahim berkata, batang penyapu pula dibuat daripada buluh yang dibeli khas dan pengikatnya pula menggunakan tali.

“Kini bekalan sabut semakin sukar diperoleh sebab ramai pengusaha kelapa jual sabut kepada pengusaha buat tilam.

“Kalau ada pun pakcik kena beli. Buat penyapu bukan banyak untung, cukup makan sahaja. Sebatang penyapu dijual dengan harga RM4 sahaja,” katanya.

Sekali sekala Ibrahim dapat dilihat menjual sendiri penyapu buatannya di pasar tani Bachok setiap pagi Sabtu.

Ibrahim berkata, sebelum ini jirannya juga pernah membuat penyapu sabut tetapi kini yang tinggal hanya dia seorang sahaja di situ yang mengusahakannya sebagai pendapatan untuk menyara hidup.

Sinar Harian