Tuesday, 9 December 2014

300 mangsa banjir di Klebang dipindahkan

Lebih 300 penduduk di lima kawasan terutama di Klebang, di sini terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat kira-kira 8 malam tadi.

Setakat 1 pagi tadi, seramai 285 mangsa daripada 40 keluarga di kawasan Kampung Seri Kelebang Tambahan Dua, Kampung Tersusun Klebang Selatan, Kelebang Bayu dan Taman Bertuah dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, manakala sebanyak sembilan keluarga di Kampung Tengku Husein, Manjoi turut dipindahkan ke dewan orang ramai.

KEADAAN banjir di Kampung Seri Kelebang Tambahan Dua. FOTO ihsan bomba
Menurut Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut melawat kawasan yang terjejas, jumlah sebenar mangsa yang terbabit dalam bencana itu masih belum diperoleh kerana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih merekodkan serta mengumpul maklumat mangsa.

"Bedasarkan tinjauan yang dibuat, punca banjir yang berlaku selain daripada hujan lebat luar biasa pada sebelah petang, air naik dengan mendadak hingga memasuki rumah penduduk dipercayai berpunca daripada ban di Sungai Seri Kelebang, di sini pecah.
KEADAAN banjir di Kampung Seri Kelebang Tambahan Dua. FOTO ihsan bomba
"Saya masih menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkara itu dan mengarahkan mereka mengambil langkah sewajarnya untuk menangani masalah berkenaan," katanya di sini awal pagi ini.

Menurutnya, kesemua agensi kerajaan terutama pasukan keselamatan mengambil langkah awal menyelamatkan penduduk yang terjejas dan memindahkan mereka ke pusat pemindahan.

"Bantuan awal juga diberikan kepada mangsa termasuk makanan, pakaian, tilam dan sebagainya di pusat pemindahan.

"JKM kini sedang merekodkan maklumat kesemua mangsa yang terbabit untuk tujuan penyaluran bantuan lanjut," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Kebombaan Perak, Hasrin Hasbi yang ditemui berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 9.41 malam dan menghantar anggota dari Balai Bomba Ipoh, Meru Raya dan Pasir Puteh untuk menyelamat dan memindahkan mangsa.

"Air naik setinggi kira-kira satu meter hingga memasuki rumah mangsa dan pasukan bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap termasuk warga emas dan dua Orang Kurang Upaya (OKU).

"Pasukan bomba masih memantau keadaan dan air setakat ini sudah mula surut di beberapa kawasan," katanya.
BANTUAN awal termasuk tilam yang diagihkan kepada mangsa. FOTO ihsan bomba 
Harian Metro