Thursday, 21 August 2014

Tragedi MH17 Md Salim berdebar menunggu jenazah anak

Bapa kepada mangsa nahas pesawat MH17, Md Salim Sarmo mengakui semakin berdebar menunggu saat-saat untuk menerima jenazah anaknya, Mohd Ali Md Salim yang dijadualkan tiba pada Jumaat depan.

Pesara tentera itu memberitahu, perasaannya kini bercampur-campur antara sayu dan sedih tetapi redha dengan pemergian anak kenamnya itu.

"Saya dan keluarga akan ke Kuala Lumpur minggu depan sebaik sahaja akan mendapat arahan MAS nanti," katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengakui setiap hari beliau dihubungi oleh kakitangan Malaysian Airline System Berhad untuk maklumat terkini namun tidak ada sebarang arahan untuk membawa beliau ke Amsterdam bagi mengiringi pulang jenazah anaknya itu.

Md Salim memberitahu, beliau sekeluarga sangat bersyukur kerana jenazah anaknya antara mangsa pesawat MH17 yang ditemui.

"Syukur..syukur kepada Allah. Sekurang-kurangnya jenazah anak kami ditemui dan semua urusan sudah semakin kepada penghujung.

"Pada masa sama saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menepati janji untuk membawa balik jenazah warga Malaysia secepat mungkin sebaik sahaja semua urusan pengecaman selesai," tambahnya.

Beliau telah dimaklumkan majlis penghormatan terakhir kepada mangsa-mangsa nahas MH17 akan bermula pada pukul 10 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, kalau boleh beliau dan sekeluarga mahu segera membawa jenazah anak pulang ke kampung sebaik sahaja tiba di KLIA.
Namun, beliau akur majlis penghormatan oleh Kerajaan Malaysia itu kepada mangsa-mangsa nahas MH17.

Sejurus itu, jenazah anaknya akan diterbangkan mengguna pesawat Nuri ke padang Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pagoh.

Tambah Md Salim, beliau menaruh harapan agar jenazah anaknya itu dapat terus dibawa ke kediaman mereka di Kampung Jayor, Pagoh untuk disembahyang sebelum dikebumikan di Makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja.

"Segala urusan pengebumian sudah kami uruskan di sini dan saya berdoa semuanya dapat dipermudahkan.

Anaknya, Mohd Ali merupakan penuntut Doktor Falsafah dalam bidang Pembangunan Neutropsiko Patologi di Universiti Erasmus, Rotterdam dan dijadualkan tamat pengajian pada April depan.

Ketika kejadian nahas pada 17 Julai lalu, Mohd Ali dalam penerbangan pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sepatutnya tiba di kampungnya pada 19 Julai.
Sumber : MalaysiaGazette