Monday, 25 August 2014

Sebenarnya 24 jenazah mangsa MH17 sudah dibawa pulang

Dua puluh empat mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 telah dibawa pulang ke Malaysia sehingga semalam dengan dua daripadanya tidak didedahkan identiti atas permintaan keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata 20 jenazah tiba di Malaysia pada 22 Ogos, satu jenazah pada Sabtu (23 Ogos) dan tiga semalam.

Pada Jumaat, kumpulan pertama 20 jenazah melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas dan diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang.

Semalam, jenazah penyelia penerbangan kabin MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Ng Shi Ing turut diberi penghormatan dalam istiadat serupa.

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini, Rohani berkata kerajaan perlu menghormati permintaan mana-mana waris yang mahu identiti mangsa dan kepulangan jenazah dirahsiakan.

"Syukur kerana urusan istiadat penghormatan dan pengebumian jenazah berjalan lancar dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak khususnya anggota keluarga," katanya.

Rohani berkata kebanyakan kaum keluarga menerima nasihat supaya keranda mangsa tidak dibuka. 

"Emosi keluarga juga semakin baik. Kaunseling juga masih diberikan kepada yang memerlukan termasuk kepada waris mangsa yang telah dikebumikan," katanya. 
Sumber : Bernama