Saturday, 23 August 2014

Punca PKR kalah di DUN Pengkalan Kubor

Bekas calon PKR DUN Pengkalan Kubor Saharun Ibrahim menyalahkan "parti sahabat" PKR di Kelantan yang didakwanya menyebabkan mereka tewas dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara langsung kepada PAS, yang merupakan parti Pakatan Rakyat yang dominan di di negeri pantai timur itu.

"Oleh kerana ini dalam majlis rasmi dan saya suka menjaga adab sedikit, bolehlah saya ringkaskan kita tidak menang adalah kerana kesilapan teknik yang berkait dengan hubungan kita dengan parti sahabat kita.

"Apa yang kita rancang rupanya tidak berjalan sebagaimana yang dirancang," katanya selaku perwakilan Kelantan ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Kesepuluh parti itu di Shah Alam, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau cuba menggambarkan situasi tersebut dengan mengumpamakan usaha memungut buah durian.

"Ibaratnya memungut buah durian. Kami termasuk saya sudah memungut buah-buah durian yang secukupnya (dan) dibawa ke rumah.

"Saya simpan di dalam bilik. Saya kira buah durian itu dan didapati buah terlebih banyak daripada buah sebelah sana.

'Bilik dipecahkan'

"Tetapi apabila tiba pilihan raya, kita mendapat durian yang kurang.

"Saya buka bilik. Saya lihat rupanya lantai bilik tempat kita simpan durian itu sudah dipecahkan oleh orang di kalangan kita sendiri," katanya.

Pada pilihan raya umum itu, Saharun tewas kepada Datuk Noor Zahidi Omar.

Beliau mendapat 8,438 undi manakala Noor Zahidi memperolehi 10,174 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 65 undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas Noor Zahidi meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China pada 5.45 pagi, Rabu lalu.

Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan di Tumpat malam tadi.
Sumber : MK